Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

5 KRT Baharu Ditubuhkan Di Semporna

gambar hiasan
gambar hiasan

SEMPORNA – Lima lagi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ditubuhkan di Semporna, menjadikan keseluruhannya 29 KRT di daerah berkenaan.

Anggota Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata lima KRT baharu itu ditubuhkan di Taman Semporna Center, Kampung Pababag, Kampung Mentaritip, Taman Wiramas dan Kampung Timbayan.

Beliau berkata pembukaan KRT itu sangat penting kerana ia dapat menjadi landasan masyarakat di kawasan berkenaan untuk bersama-sama menjaga perpaduan, kebajikan dan keselamatan di kawasan masing-masing.

“Selain itu KRT dapat memupuk kerjasama yang baik dan mengeratkan lagi silaturahim di kalangan penduduk pelbagai kaum dan agama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan kelima-lima KRT itu, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata penubuhan KRT itu dapat membantu menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dihadapi penduduk setempat.

“Oleh itu kita berharap pimpinan KRT dapat menjalankan tugas dengan baik selaras dengan peranan yang telah dipertanggungjawabkan. Pimpinan KRT perlu selalu turun padang untuk berjumpa dengan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Semporna Mohd Lukman Syarifuddin berkata pihaknya akan menubuhkan lebih banyak KRT di Semporna, pada tahun depan.

“Oleh itu kita mengalu-alukan sekiranya ada kampung atau taman perumahan yang ingin menubuhkan KRT. Namun sebarang permohonan itu perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu jumlah penduduk di kawasan tersebut melebihi 1,000 orang,” katanya. – BERNAMA

 

Komen


Berita Berkaitan