Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

5 Cara Menguatkan Diri Secara Rohani

12:00pm 21/04/2016 Zakir Sayang Sabah 243 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Marcapada di zaman moden, kekuatan agama sering kali diuji dari pelbagai sudut. Daripada pemerhatian manusia, pertuturan hinggalah ke penulisan di medan sosial, setiap manusia perlu persiapkan diri agar tidak mudah dipengaruhi anasir luar yang menjatuhkan nilai diri seseorang.

Oleh itu, saya ingin berkongsi 5 kaedah untuk menguatkan diri secara rohani, berdasarkan pengalaman peribadi dan pemerhatian sekeliling semenjak beberapa tahun lepas.

1. Melazimi Solat Berjemaah

Setiap Muslim wajib menunaikan solat fardu lima waktu seharian – rukun Islam yang kedua selepas dua kalimah Syahadah. Pelaksanaan solat fardu berjemaah dapat meningkatkan nilai kemasyarakatan sesama ahli kariah, di samping mendisplinkan diri untuk sentiasa berada di dalam kumpulan untuk tujuan kebaikan.

Anda pasti terkejut akan hasilnya setelah beberapa minggu melakukannya – ketidak hadiran anda pasti menimbulkan rasa tanda tanya dalam kalangan ahli kariah. Secara tidak langsung, hal ini melatih anda bersifat malu dan tawaduk dalam ketika bersolat – kunci kepada khusyuk di dalam sesuatu ibadah.

2. Bacaan Al-Ma’thurat

Al-Ma’thurat adalah himpunan zikir, bacaan suci ayat al-Quran dan doa perlindungan yang dikompilasikan oleh Imam Hasan al-Banna Rahimatullah, pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin pada tahun 1928.

Bacaan al-Ma’thurat dilakukan dalam dua ketika; pagi (selepas Subuh) dan petang (selepas ‘Asar atau selepas Maghrib).

Manfaat utama al-Ma’thurat ialah perlindungan secara total daripada Allah SWT daripada segala bala dan kejahatan, di samping mendoakan kesejahteraan hidup pembaca, di dunia dan di akhirat.

Sungguh, bertuahlah bagi mereka yang kerap membaca al-Ma’thurat dua kali sehari, kerana ia ibarat pelaburan paling bernilai – beberapa minit bacaan untuk pelindungan-Nya selama beberapa jam dengan izin-Nya.

3. Mendekati ‘Alim Dan Para Ulama’

Ada kalanya, bersahabat dengan mereka yang berilmu dan lebih berpengetahuan dalam bidang agama sungguh bermakna buat seseorang. Merekalah tempat rujukan dan bimbingan di kala seseorang itu mengalami kesulitan.

Harus diingat bahawa kepada Allah SWT jualah kita perlu berdoa dan meminta pertolongan. Kenalilah mereka yang berhak dan benar pegangannya, dan jauhilah mereka yang sesat dan batil kepercayaanya.

Ulama’ adalah pewaris Nabi, tetapi mereka juga manusia – ada kalanya tidak sempurna. Maka, sama-samalah kita mencari petunjuk daripada-Nya.

4. Mempraktik Sunnah Rasulullah SAW.

Nabi Muhammad SAW meninggalkan khazanah bermakna selepas al-Quran yang mulia – Sunnah baginda. Seperti yang tercatat dalam hadith, fadhilat melakukan Sunnah baginda sangat bernilai – ia tidak boleh diukur dengan harta dan mata wang .

Malah, Sunnah bertindak sebagai pelengkap kepada amalan seharian kita. Justeru, kita akan lebih menghayati ad-Din sebagai gaya hidup dengan melaksanakan Sunnah baginda. Contohnya: puasa sunat hari Isnin dan Khamis, bersiwak, memberi salam kepada Muslim dan sebagainya.

5. Menghayati Al-Quran Dan Hadith Secara Maknawi (kandungan)

Dua sumber rujukan utama buat Muslim ialah kalam-Nya (al-Quran) dan sabda Rasulullah SWT (Hadith). Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya cuba memahami isi kandungan dalil naqli yang zahir dinyatakan.

Dewasa kini, terdapat tafsir dan terjemahan dalam bahasa tempatan (Melayu) dihasilkan oleh para mufassirin dan linguistik agama untuk memudahkan masyarakat untuk mendalami ayat suci-Nya.

Sungguh, dengan memahami maksud ayat al-Quran secara menyeluruh, kita dapat mengetahui makna bacaan solat, khususnya surah lazim seperti al-Fatihah . Perlu diingat, terdapat dua jenis ayat terkandung di dalam al-Quran; tersurat dan tersirat.

Pemahaman ayat tersirat memerlukan pengetahuan tambahan selain bahasa Arab; sebagai contoh ilmu sejarah dan ilmu tafsir.

Kesimpulannya

Ibadah yang kita dilaksanakan seharian perlu dipandu dengan satu tujuan utama;

Ikhlas kerana Allah SWT. Sebaik-baik ibadah adalah amalan yang sedikit, tetapi berterusan dalam jangka masa panjang (istiqamah).

Saya yakin, dengan izin Allah, anda akan lebih bersemangat dan lebih bersedia dalam aspek rohani jika kesemua lima cara di atas dipraktik dalam kehidupan seharian. Semoga Allah permudah dan berkati usaha kita sebagai hamba-Nya dalam jalan menuju syurga Firdausi.

Nota:
1. Maknawi – maksud/ makna
2. Mufassirin – Para pentafsir

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Haniff Nasir)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan