Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

49 PATI DITAHAN DALAM OPERASI BERSEPADU KHAS DI LAHAD DATU

escom

LAHAD DATU, 6 Jan  : Sebanyak 49 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kebanyakannya warga Filipina ditangkap dalam Operasi Bersepadu Khas ketiga yang dilancarkan di pusat bandar Lahad Datu, petang semalam.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun berkata PATI terdiri daripada 20 lelaki dan 29 wanita itu ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dan mereka telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata operasi bersepadu sejam bermula 4.30 petang itu dilakukan bersama-sama bahagian penguatkuasa Pejabat Daerah Lahad Datu dan pelbagai agensi negeri dan persekutuan, tertumpu di kawasan pasar ikan.

“Pendatang tanpa izin termasuk yang menjalankan perniagaan haram di kawasan pasar ikan Lahad Datu, biasanya melarikan diri setiap kali operasi memburu PATI dilaksanakan.

“Inilah modus operandi mereka untuk mengelak daripada dikesan. Sebab itu, kita lancarkan operasi bersepadu ini secara berterusan bagi memastikan Lahad Datu benar-benar bersih daripada PATI,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata operasi berkenaan akan diperluaskan ke seluruh Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) secara berperingkat.

Sebelum ini, katanya dua operasi serupa dilancarkan di kawasan bandar Lahad Datu yang menyaksikan 67 orang PATI kesemuanya ditahan.

Operasi membanteras PATI itu merupakan antara langkah drastik yang diambil kerajaan susulan Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai PATI di Sabah yang dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) baru-baru ini yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.– BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan