Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,809

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

47 dipancung

11:45am 03/01/2016 Pak Roshan 3 views Global
PENUNJUK perasaan di Bahrain membantah hukuman mati dilaksanakan terhadap Nimr.

PENUNJUK perasaan di Bahrain membantah hukuman mati dilaksanakan terhadap Nimr.

Riyadh: Arab Saudi semalam mengumumkan melaksanakan hukuman bunuh terhadap 47 pesalah didapati bersalah atas tuduhan keganasan termasuk dikaitkan dengan al-Qaeda dan seorang ulama Syiah terkemuka yang menganjurkan demonstrasi membantah kepemimpinan kerajaan negara itu.

Hukuman mati Sheikh Nimr al-Nimr mencetuskan protes penganut Syiah di rantau itu, termasuk Iran, Bahrain serta Iraq.

Sementara itu, adik Nimr, Mohammed, menggesa orang ramai tidak bertindak terburu-buru namun mengaku kejadian itu mampu menimbulkan kemarahan penduduk Syiah terutama golongan muda di Arab Saudi sendiri.

Pembunuhan militan al-Qaeda yang didapati bersalah dalam serangan bom serta tembakan di Arab Saudi turut menimbulkan kebimbangan berlaku serangan balas kumpulan pelampau itu.

Cabang kumpulan berkenaan di Yaman dikenali sebagai Al-Qaeda di Semenanjung Arab memberi amaran kepada pasukan keselamatan Arab Saudi bahawa mereka akan melancarkan serangan jika anggota kumpulan itu dibunuh.

Kementerian dalam negeri Arab Saudi semalam mengumumkan pelaksanaan hukuman terhadap 47 orang itu dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi Saudi Press Agency.

Rangkaian televisyen tempatan juga melaporkannya.

Mereka yang dihukum mati semalam termasuk 45 penduduk tempatan, dan masing-masing seorang dari Chad serta Mesir.

Antara yang pertama dibunuh, Faris al-Shuwail, anggota penting al-Qaeda di Arab Saudi. Dia ditahan pada Ogos 2004 susulan beberapa serangan dilancarkan kumpulan berkenaan.

Seorang peguam memberitahu The Associated Press bahawa Nimr antara empat tahanan politik Syiah yang dihukum bunuh.

Arab Saudi berkata, perintah mahkamah dikeluarkan supaya hukuman berkenaan dilaksanakan selepas semua usaha rayuan gagal.

Hukuman dijalankan di ibu negara, Riyadh, selain 12 bandar lain, kata kenyataan kementerian itu. Hukuman mati di Arab Saudi lazimnya menggunakan kaedah pancung.

Sementara itu, dalam sidang media semalam, jurucakap kementerian Mejar Jeneral Mansour al-Turki berkata, hukuman dilaksanakan di penjara dan di khalayak ramai.- AP/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan