Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

433,000 peminjam PTPTN sedang diputihkan

DR Maszlee Malik pada sidang media selepas majlis penyerahan surat tawaran rasmi kemasukan ke Universiti Awam dan Pusat Matrikulasi Sesi Akademik 2018/2019 kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Putrajaya. – Foto Mohd Fadli Hamzah

 

PUTRAJAYA: Kira-kira 433,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen melalui proses pemutihan secara berperingkat dari 24 Mei lalu hingga 15 Jun ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata PTPTN menyenarai hitam seramai satu juta peminjam dan kira-kira 655,000 daripadanya sudah membuat pembayaran membabitkan kutipan berjumlah kira-kira RM1.9 bilion dan keluar dari senarai hitam Jabatan Imigresen.

“Selebihnya kira-kira 433,000 lagi sedang diputihkan secara berperingkat dalam tempoh 24 Mei lalu hingga 15 Jun ini.

“Kita sudah berjanji mahu mengeluarkan semua peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen. Perbincangan sudah dijalankan dengan pihak yang terbabit dan pemutihan daripada senarai hitam sedang dilaksanakan di mana semua urusan berkaitan dijangka dapat diselesaikan sebelum pertengahan Jun ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, tambah beliau, kementerian memerlukan sedikit masa lagi bagi mencari mekanisme terbaik berhubung penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam bergaji kurang daripada RM4,000.

Menurutnya, buat masa ini Kementerian Pendidikan menubuhkan satu kumpulan untuk mengkaji dengan lebih teliti cara terbaik supaya janji itu dapat dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan tidak menggadaikan kepentingan rakyat.

“Jadi, buat masa ini, kita harap peminjam PTPTN dapat terus membayar hutang mereka dan bersabar kerana membayar hutang ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab moral kita. Berkaitan penangguhan bagi mereka yang bergaji kurang daripada RM4,000 itu, berikan kami waktu untuk buat kajian dan perincian.

“Ketika kami membuat janji dalam manifesto, kita hanya berdasarkan laporan belanjawan yang dikemukakan tahun lalu oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak, tetapi nampaknya mereka bersikap tidak jujur apabila menyembunyikan angka berkaitan hutang negara.

“Kita sedia maklum minggu lalu, Menteri Kewangan mendedahkan angka yang agak mengejutkan, dan semalam dalam mesyuarat Jemaah Menteri, dibincangkan perlunya kerajaan PH berhemah dalam perbelanjaan demi mengutamakan kepentingan rakyat dengan tidak menggadaikan janji yang dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, berhubung peminjam yang tersenarai dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), ia masih kekal.

“Mereka yang tamat pengajian selepas 12 bulan, pada bulan ke-13 nama akan dimasukkan dalam CCRIS. Jadi, mereka boleh datang jumpa kita (PTPTN) untuk buat penyusunan semula pinjaman, contohnya jika tidak mampu bayar ansuran bulan RM100, boleh bincang untuk kurangkan manakala bagi yang bergaji kurang daripada RM4,000 ia masih dalam kajian.

“Selain itu, insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN, iaitu diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman; diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya separuh daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji mengikut jadual bayaran balik ditetapkan masih diteruskan,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan