Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,759

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

43 Port Dadah Diserbu Dalam Op Sarang Di Sabah

6:05pm 21/03/2016 Pak Roshan 1432 views Jenayah,Mutakhir

syabu tawau

KOTA KINABALU : Sebanyak 43 sarang atau ‘port’ kegiatan penyalahgunaan dadah diserbu sepanjang ‘Op Sarang’ dijalankan di Sabah minggu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Supt. Mohammed Fadzil A. Rahman berkata sebanyak 268 kes direkodkan berkaitan penyalahgunaan dadah dengan 288 tangkapan dibuat sepanjang operasi lima hari sejak 14 Mac lepas.

“Ianya (268 kes) melibatkan 15 kes bekalan dan 23 kes memiliki dadah dengan jumlah rampasan sebanyak 135.88 gram syabu.

“Seramai 205 tangkapan pula didapati positif dadah syabu selepas menjalankan saringan air kencing,” katanya pada sidang media mengenai operasi itu di sini hari ini.

Mohammed Fadzil berkata kebanyakan sarang atau port berkenaan terdapat di daerah-daerah besar seperti Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Lahad Datu, manakala umur tangkapan pada keseluruhannya ialah 20 hingga 40 tahun.

Beliau turut memaklumkan bagi tempoh Januari tahun ini hingga semalam, JSJN Sabah berjaya membanteras 140 kes bekalan dadah dengan 219 orang ditangkap.

Bagi kategori memiliki dadah pula sebanyak 453 kes dengan 541 tangkapan, manakala 2,747 orang didapati positif dadah selepas menjalankan saringan air kencing, katanya.

Mohammed Fadzil juga berkata dalam tempoh tersebut, JSJN berjaya merampas 3,825.85 gram syabu, ganja (411.62 gram), heroin (1.6 gram), ketamin (169.4 gram), ekstasi (523 biji) dan erimin 5 (11 biji).

“Saya mengucapkan terima kasih kepada masyarakat umum yang selama ini telah banyak memberikan atau menyalurkan maklumat kepada pihak polis ke arah membanteras gejala penyalahgunaan dan pengedaran serta penyeludupan masuk dadah di Sabah.

“Saya menyeru dan mengalu-alukan agar masyarakat umum dapat terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis dengan menggunakan media sedia ada seperti SMS, Rakan Cop, WhatsApp, Facebook, e-mel, dan lain-lain lagi,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan