Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

40,000 bekas banduan berjaya dalam program pemulihan luar tembok

Azis Jamman (dua dari kiri) selepas memukul gong tanda perasmian Program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Sabah 2018. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Program pemulihan luar tembok penjara untuk bekas banduan oleh Jabatan Penjara berjaya mengurangkan kes jenayah berulang ke tahap minima.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman berkata, kadar kes berulang adalah kurang daripada satu peratus sejak Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib dan Program Reintegrasi Penghuni diperkenalkan jabatan itu.

Beliau berkata, usaha yang dilakukan itu menunjukkan kira-kira 40,000 banduan dan pesalah telah selesai menjalani program berkenaan dengan jayanya.

“Kadar kes kemasukan berulang atau residivis tersebut jauh lebih rendah berbanding dengan kadar residivis banduan yang menjalani pemulihan semata-mata di dalam penjara iaitu 9.5 peratus.

“Semoga usaha yang dilaksanakan tidak hanya dilihat sebagai kaedah hukuman semata-mata, tetapi juga dinilai sebagai program pendidikan dan pemulihan sahsiah diri bagi mereka yang telah terpesong daripada norma kehidupan,” katanya dalam ucapan perasmian program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Sabah 2018 di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar; Setiausaha Bahagian Kepenjaraan, Antidadah dan Rela Kementerian Dalam Negeri, Datuk Muhamad Sade Mohamad Amin; Pengarah Pengurusan Banduan, Datuk Nordin Muhamad dan Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Timbalan Komisioner Suria Idris.

Azis berkata, pihak kementeriannya menyambut baik inisiatif dan usaha Jabatan Penjara dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bagi meningkatkan kesedaran serta mendorong keterlibatkan menyeluruh anggota masyarakat dalam menangani jenayah.

Dalam masa sama, beliau juga menggesa syarikat-syarikat swasta dan sektor korporat berkongsi tanggungjawab sosial bagi membantu Jabatan Penjara dan MCPF menjayakan matlamat tersebut.

“Saya menyeru masyarakat tidak menolak bekas penghuni penjara untuk bersama-sama menjayakan agenda membangunkan negara, berilah mereka peluang untuk mencari rezeki. Sokongan masyarakat dapat mengelakkan mereka kembali ke penjara,” katanya.

Azis berkata, sehingga Ogos lalu, seramai 1,286 orang diparol telah mengikuti Corporat Smart Internship (CSI) melibatkan 36 buah syarikat swasta dalam sektor pembuatan, perladangan, perindustrian, perkhidmatan dan perindustrian.

Beliau menjelaskan, walaupun program CSI itu baru bermula tahun lalu, namun pencapaiannya amat memberangsangkan dan memenuhi matlamatnya. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan