Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,499

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

400 pokok kelapa sawit ditebang di tebing Sungai Kinabatangan

8:38am 06/06/2014 Pak Roshan 223 views Sandakan,Tempatan

sawit

KINABATANGAN: Lebih 400 pokok kelapa sawit telah ditebang dari kawasan tebing sungai yang diceroboh Ladang Kinabatangan, dekat Batu Putih, di sini sejak kempen itu dilancarkan 10 Mei lalu.

Sebagai ganti, kira-kira 4,600 spesies pokok asli ditanam di kawasan itu oleh pasukan pemulihan hutan Koperasi Ekopelancongan Komuniti (KOPEL) Batu Putih.

Pengurus Eksekutif KOPEL, Rosli Jukrana berkata, pasukan itu telah bekerja keras hampir sebulan membuang pokok kelapa sawit muda dan menanam semula lapan spesies pokok asli meliputi tiga hektar.

“Luas kawasan untuk dipulihkan ialah kira-kira lapan hektar dan kami harap dapat melakukannya beberapa minggu lagi. Kemudian kerja penyelenggaraan akan bermula dan ia akan mengambil antara tiga hingga lima tahun untuk mematau pemulihan hutan itu.

“Tetapi pasukan pemulihan hutan kami sangat dedikasi dan kami berharap ia akan menjadi contoh dan lebih banyak tanah simpanan tepi sungai yang telah diceroboh oleh ladang kelapa sawit dapat diambil balik dan ditanam semula,” katanya dalam satu kenyataan bersama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Pusat Penyelidikan Danau Girang.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Pang Yuk Ming yang melancarkan kempen itu bulan lepas berkata, beliau teruja dengan dedikasi yang ditunjukkan KOPEL dan kesungguhan mereka untuk memulihkan tanah simpanan tepi sungai yang sudah diceroboh lebih 25 tahun.

Menurutnya, penilaian sempadan simpanan tebing sungai yang dijalankan Jabatan Tanah dan Ukur menunjukkan Ladang Kinabatangan telah menceroboh tanah kerajaan.

“Saya diberitahu KOPEL baru-baru ini yang ladang berkenaan cuba menuntut semula sebahagian daripada tanah terbabit walaupun jabatan telah mengenal pasti sempadan tanah simpanan itu.

“Saya boleh memberi jaminan kepada anda yang kerajaan tidak akan tunduk dan akan memastikan Ladang Kinabatangan menghormati undang-undang dan harta kerajaan dan saya menyokong usaha penanaman semula yang dijalankan KOPEL,” kata Pang.

Pengarah Pusat Penyelidikan Danau Girang, Dr Benoit Goossens berkata, pemulihan tanah simpanan di tebing sungai akan meningkatkan hubungan pergerakan hidupan liar di Kinabatangan.

Menurutnya, pusat itu akan menyokong usaha berkenaan dengan menghantar pelajar serta sukarelawan untuk aktiviti menanam pokok.

 

“Selain itu kami akan menyediakan dana bagi membantu pasukan pemulihan di samping mengkaji pemulihan hutan serta memantau kepulangan hidupan liar ke tanah simpanan tebing sungai berkenaan,” katanya.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan