Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

400 gerai dibuka sempena Karnival Tahun Baru Cina

KOTA KINABALU – Sebanyak 400 gerai menjual pelbagai barangan akan dibuka sepanjang tiga hari Karnival Tahun Baru Cina, bermula 13 Februari ini pada pukul 6 petang hingga 11 malam di Lintasan Deasoka dan Jalan Gaya, Kota Kinabalu

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Joannes Solidau berkata, karnival itu dianjurkan bersama DBKK dan Gabungan Persatuan Cina Sabah (Federation of Chinese Associations Sabah).

“Majlis Perasmian dijangka akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Antara aktiviti menarik yang akan diadakan adalah persembahan koir, paluan gendang 24 musim dan acara `Lau Sang’. Para pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan pentas seperti tarian singa, tarian ‘belly’ dan hip hop. Ia akan diakhiri dengan pertunjukan bunga api,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, pada hari kedua karnival iaitu 14 Februari, majlis bersama warga emas dan kanak-kanak akan diadakan di Lintasan Deasoka yang akan disempurnakan oleh isteri Ketua Menteri, Datin Seri Faridah Tussin.

Bersempena dengan majlis ini, para penonton akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian termasuk persembahan koir ‘Nyang Guang’ dan persembahan fesyen oleh enam pasangan warga emas.

Manakala pada hari terakhir karnival, iaitu Ahad ini, majlis penutupan karnival akan disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri selaku Menteri Bertanggungjawab Kepada DBKK, Datuk Ir. Edward Yong Oui Fah.

Bagi memberi laluan kepada acara ini, Jalan Gaya, Jalan Bandaran dan Jalan Perpustakaan akan ditutup bermula dari pukul 6 petang hingga 11 malam. – oleh Monica Gidong / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan