Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

40 Tahun Perginya ‘Bapa Pembangunan Malaysia’

11:18am 13/01/2016 Pak Roshan 17 views Mutakhir,Nasional

Allahyarham-Tun-Abdul-Razak-Hussein

KUALA LUMPUR – Empat puluh tahun dahulu, pada 14 Jan 1976 Malaysia kehilangan seorang negarawan yang memainkan peranan penting dalam membentuk pembangunan ekonomi negara dan perpaduan rakyat.

Beliau adalah Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia kedua yang berkhidmat dari 1970 hingga 1976.

Diberikan gelaran Bapa Pembangunan Malaysia, beliau adalah tokoh yang telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru, satu dasar yang telah melakar sejarah dalam menentukan hala tuju ekonomi negara dan memberi kesan yang amat mendalam kepada rakyat sehingga ke hari ini.

Sumbangan Allahyarham dapat dilihat semenjak zaman sebelum merdeka apabila beliau adalah antara individu penting yang terlibat bersama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memperjuangkan kemerdekaan negara daripada British.

Pada 1955, Allahyarham telah dilantik sebagai Menteri Pelajaran di bawah Kabinet pertama negara dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri pertama Malaysia.

Sebagai Menteri Pelajaran pertama, Allahyarham telah memainkan peranan penting dalam membentuk asas awal sistem pendidikan negara yang dilihat amat perlu bagi menggantikan sistem pendidikan penjajah yang diguna pakai pada waktu itu.

Atas usahanya, maka lahirlah Penyata Razak pada 1956 yang dibentuk bagi menyatupadukan sistem pelajaran untuk membina sebuah bangsa yang bersatu padu dengan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan menjadi bahasa pengantar.

Penyata Razak kemudiannya dimaktubkan sebagai Ordinan Pelajaran 1957.

Ketika tercetusnya tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, Allahyarham yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pertahanan adalah individu penting melaksanakan usaha mengekang insiden berkenaan daripada terus berlarutan.

Selepas kerajaan mengisytiharkan darurat berikutan insiden itu, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan dengan Allahyarham menjadi pengerusi majlis itu.

Majlis itu berjaya memulihkan semula ketenteraman awam dan seterusnya membentuk Rukun Negara iaitu ideologi kebangsaan Malaysia bagi merapatkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Allahyarham mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Almarhum Tunku Abdul Rahman pada 1970 dan beliau tidak menunggu lama memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menekankan strategi serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat bagi mewujudkan keharmonian dan perpaduan.

Bagaimanapun, Allahyarham tidak dapat merencanakan lebih banyak pembangunan negara apabila menghembuskan nafas terakhir pada 14 Jan 1976 akibat penyakit leukemia pada usia 53 tahun.

Walaupun menjawat jawatan Perdana Menteri dalam tempoh yang agak singkat, sumbangannya kepada negara sememangnya tidak dapat diukur dan akan dikenang sampai bila-bila.

Gelaran ‘Bapa Pembangunan’ yang diberikan kepadanya adalah di atas sumbangannya dalam meletakkan batu asas kepada sistem pembangunan negara terutama ekonomi di luar bandar, sehingga berjaya menjadikan negara ini seperti pada hari ini.

Allahyarham telah mewariskan asas teguh bagi menjamin masa depan negara ini menerusi pelbagai usaha dan dasar termasuk menekankan penyertaan Bumiputra dalam sektor ekonomi secara lebih pesat.

Kewujudan agensi-agensi seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Nasional (PERNAS), Bank Bumiputra, Tabung Haji, Petronas dan Bank Pertanian adalah bertitik tolak daripada usahanya bersama pemimpin terdahulu sepanjang mengabdikan diri untuk tanah air.

Disifatkan sebagai seorang pemimpin yang berpandangan jauh, bijak dan berperwatakkan gagah, Allahyarham pergi dengan meninggalkan benih pengganti untuk meneruskan perjuangannya membela agama, bangsa dan negara.

Darah yang mengalir dalam tubuh Allahyarham diwarisi anaknya Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang menyambung perjuangan ayahandanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan