Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,642

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

40 Pelajar Cemerlang Sabah Terima Biasiswa Petronas

6:20pm 09/06/2016 Pak Roshan 322 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

masidi

KOTA KINABALU : Syarikat petroleum negara, Petronas hari ini menyampaikan biasiswa kepada 40 pelajar cemerlang Sabah di bawah Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) untuk tahun ini.

Pelajar terpilih berkenaan merupakan sebahagian daripada 391 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 yang turut mendapat penajaan Petronas bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang masing-masing.

Biasiswa itu disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun, yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman pada Majlis Anugerah Penajaan Pendidikan Petronas 2016, di sini.

Musa, dalam teks ucapan yang dibacakan Masidi berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan inisiatif Petronas yang terus komited dan konsisten menunaikan tanggungjawab sosial korporat dalam pembangunan pendidikan di Sabah.

“Saya memuji komitmen tinggi Petronas kerana walaupun berhadapan dengan cabaran kelembapan ekonomi global berikutan penurunan harga bahan api dunia, Petronas tetap tidak mengabaikan kepentingan pendidikan dan masa depan pelajar di negeri ini menerusi pelbagai bantuan dan penajaan,” katanya.

Musa percaya, penajaan biasiswa pendidikan itu bukan sahaja memanfaatkan penerima dan anggota keluarga mereka, tetapi juga membawa erti dan makna besar dalam konteks pembangunan sumber manusia di Sabah secara keseluruhannya.

Sementara itu, Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata lebih 700 anak Sabah telah menerima Biasiswa Pendidikan Petronas sejak ia diperkenalkan pada 1975 bagi membantu pelajar terpilih meneruskan pengajian ke peringkat tinggi di dalam dan luar negara.

Seorang penerima biasiswa PESP, Suziana Era Ah Yit dari Kota Belud melahirkan penghargaan kerana terpilih menerima tajaan itu untuk merealisasikan impiannya bergelar jurutera sekali gus mengubah kehidupan keluarganya.

Haroldson Noah Goh dari Penampang berharap biasiswa itu dapat membantu meringankan beban keluarganya selain platform untuk mempertingkat kemampuan diri seterusnya menyumbang kepada Petronas dan negara selepas tamat pengajian.

Bagi Daveliany Konsung dari Keningau, walaupun mendapat tawaran lain termasuk tajaan melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam bidang arkitek, namun, peluang mendapat tajaan Petronas itu tetap menjadi pilihan kerana melihat banyak manfaat diperoleh menerusi tajaan tersebut.

Mereka akan melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas masing-masing dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Petroleum.

Pada majlis itu, Masidi turut menyampaikan biasiswa kepada 18 pelajar Maktab Rendah Sains Mara Sabah serta biasiswa kepada 18 pelatih yang sedang mengikuti latihan vokasional di bawah program Penajaan Institut Vokasional dan Bantuan Latihan (Vista) di Institut Kemahiran Mara Kota Kinabalu dan Kolej Teknikal Yayasan Sabah.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan