Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

4 Tabiat Perlu Ditinggalkan Pada Bulan Ramadan

Gambar Hiasan

 

Sudah menjadi kebiasaan umum kepada setiap umat Islam di serata dunia, apabila tiba hari pertama bulan Ramadan mereka berlumba-lumba menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat tarawih dan beriktikaf.

Mereka menyambut ketibaannya dengan hati yang penuh kegembiraan. Melakukan amal kebaikan dengan optimum pada awal kedatangannya.

Inilah tanda bahawa manusia sukakan benda baru termasuklah bila tiba bulan yang baru.

#1 – Bersemangat Hanya Pada Awal Ramadan

Fenomena bersemangat pada awal Ramadan sangat positif tetapi bila telah berlalu seminggu atau dua minggu, masjid mula kekurangan saf yang sebelumnya penuh.

Amat malang lagi apabila menuju sepuluh akhir Ramadan, masjid semakin lengang. Adakah perbuatan ini selaras dengan tuntunan Ramadan kekasih yang tercinta, Nabi Muhammad SAW?

Amalan seperti inilah yang perlu kita jauhi bila tiba bulan Ramadan. Ramadan mengajar kita supaya tekun menghambakan diri pada Allah di setiap hela nafas dan waktu, bukan pada bulan tertentu sahaja.

Ada juga segolongan umat Islam yang tekun beribadah hanya pada bulan Ramadan.

Bila telah berlalu bulan mulia tersebut, semua ibadah yang dilakukan telah tiada dalam kamus hidup seharian. Jika ini yang berlaku, jadilah kita hamba Ramadan, bukan hamba tuhan.

Isu ini telah dihuraikan oleh Imam Yusuf Al-Qaradhawi di dalam satu penyampaian ceramah beliau:

“Jadilah hamba Allah, janganlah kau menjadi hamba Ramadan”

#2 – Meremehkan Sahur

Mungkin ramai yang menganggap amalan bersahur ialah sekadar untuk mengelakkan kita keletihan pada siang hari tanpa mengetahui kelebihannya yang sangat besar seperti yang telah disabdakan oleh Nabi SAW:

“Bersahurlah, kerana dalam sahur itu ada keberkatan” Hadis Riwayat Bukhari & Muslim

“Bersahurlah walaupun hanya dengan seteguk air” Hadis Riwayat Ibnu Hibban

“Umatku sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka puasa dan melambatkan sahur” Hadis Riwayat Ahmad

Kelebihan bersahur sangat besar jika dilihat daripada hadis-hadis di atas. Pahala bersahur diperoleh dengan makan dan minum walaupun dengan seteguk air.

Bagi mereka yang tidak boleh makan pada waktu sahur, bolehlah meneguk walaupun seteguk air supaya tidak terlepas mendapat kelebihan dan keberkatan bersahur seperti yang diajarkan Nabi SAW.

#3 – Melalaikan Kelebihan Malam-Malam Akhir Ramadan

Rasulullah SAW dan para sahabat ketika dahulu giat menambah ibadah pada penghujung Ramadan. Namun, umat akhir zaman pula sibuk memenuhi pasaraya dan pusat-pusat jualan untuk membeli-belah sebagai persediaan menjelang hari raya.

Matlamat takwa yang ingin dicapai daripada tarbiah Ramadan sepanjang sebulan seolah-olah fatamorgana di terik matahari yang membakar tanah tandus.

Kenapakah Nabi dan para sahabat semakin giat menambahkan ibadat pada malam-malam akhir Ramadan? Kerana padanya ada satu malam yang mempunyai kelebihan seperti seribu bulan.

Malam al-Qadr adalah malam yang dianugerahkan Allah SWT hanya kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Begitu bertuahnya kita sebagai umat Nabi akhir zaman tetapi mengapa kita tidak tekun mengejar malam yang menyamai kelebihan seribu bulan ini? Inilah persoalan besar yang perlu jawaban dari diri kita sendiri.

Kelebihan malam Al-Qadr ini dijelaskan sendiri oleh Allah SWT yang bermaksud:

“Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan”Surah al-Qadr : 1

Menurut ulama’ tafsir, ayat ini memberi pengertian kepada kita bahawa beramal pada malam al-Qadr lebih baik daripada beramal selama seribu bulan yang tidak ada malam al-Qadr di dalamnya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah R.HA pula menerangkan bahawa malam al-Qadr berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadan iaitu pada malam-malam ganjil. Rasulullah SAW bersabda;

“Carilah malam al-Qadr pada malam-malam ganjil daripada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan”
Riwayat al-Bukhari

#4 – Mengkhususkan Malam-Malam Tertentu Untuk Beribadat

Ada juga sesetengah dari kita hanya beribadat pada malam tertentu seperti pada malam 21, 25, dan 27 Ramadan kerana berpandukan hadis Nabi SAW yang menyebutkan malam al-Qadr berlaku pada malam ganjil.

Pada zahirnya fenomena ini sangat baik kerana ia menunjukkan kesungguhan untuk memburu malam al-Qadr tersebut.

Tetapi ia akan kelihatan pincang jika ibadat hanya dilakukan pada malam tersebut sahaja lantas mengabaikan malam-malam Ramadan yang lain.

Nabi SAW selalu beriktikaf pada setiap 10 malam terakhir bulan Ramadan sehinggalah beliau wafat. Baginda tidak mengkhususkan satu malam tertentu untuk beribadat seperti segolongan daripada kita.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah R.HA. menceritakan;

“Rasulullah SAW menggiatkan ibadahnya pada sepuluh malam terakhir Ramadan melebihi ibadahnya pada malam-malam yang lain” Riwayat Muslim

Berdasarkan hadis di atas, dapat kita simpulkan bahawa Nabi SAW tidak pernah melakukan ibadah pada hari-hari tertentu dan meninggalkan ibadah pada hari-hari yang lain seperti yang dilakukan oleh sesetengah individu pada hari ini.

Kesimpulannya, kita sebagai umat Nabi akhir zaman haruslah melaksanakan segala ibadat mengikut tuntunan yang diajarkan oleh Nabi SAW.

Amal tanpa ilmu akan menjadikan segala amal kita sia-sia laksana debu yang berterbangan ditiup angin.

Kita ingin keluar daripada bulan Ramadan sebagai orang-orang yang bertakwa dan diampunkan seluruh dosa kita seperti bayi yang baru lahir ke muka dunia.

 

(Sumber: Tazkirah.net oleh Syamsul Bahari)

Komen


Berita Berkaitan