Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

4 Perhiasan Manusia Yang Akan Hilang Kerana 4 Perkara

Gambar Hiasan

Pernah atau tidak kita melakukan sesuatu perkara secara bersungguh-sungguh dan sedaya upaya, namun akhirnya ia lenyap begitu saja. Pasti berasa ralat dan sedih bukan? Tenaga dan kudrat dihabiskan untuk melihat hasilnya pada masa akan datang, namun disebabkan kesilapan atau kecuaian kita yang mungkin cuma secubit, lantas ‘menenggelamkan’ apa yang diimpikan.

Tahukah anda, dalam diri kita sebagai seorang manusia dan hamba Allah SWT ini ada empat perhiasan indah yang tertanam dalam diri. Perhiasan-perhiasan ini amatlah berharga yang jika dibeli dengan wang ringgit pun tidak mampu untuk dijadikan sebagai tukaran gantinya.

Apakah empat perhiasan itu? Itulah akal, agama, malu dan amal soleh. Keempat perhiasan ini jika tidak dijaga dengan sebaiknya ia akan lenyap dan hilang dalam diri kita. Persoalannya, bagaimana ia boleh hilang? Perbuatan apa yang boleh menyebabkan perhiasan ini ‘tertanggal’ dari tubuh kita? Berikut dikongsikan;

#1 – Akal

Akal adalah anugerah dan keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Seterusnya, membezakan antara manusia dengan makhluk-Nya yang lain. Dengan akal, kedudukan manusia menjadi tinggi berbanding makhluk yang lain. Namun, tahukah kita ia boleh lenyap hanya disebabkan perasaan marah yang melulu.

Betapa besarnya kesan akibat rasa marah yang membuak dari dalam diri jika tidak dikawal dengan kewarasan akal fikiran. Sebab itu, Allah SWT meninggikan darjat bagi mereka yang berjaya mengawal marah dan memaafkan orang lain sebagai salah satu sifat takwa yang akan mewarisi syurga-Nya kelak. Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Dan bersegeralah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”(Ali ‘Imran: 133-134)

#2 – Agama

Agama adalah panduan utama bagi seseorang manusia dan menjadi panduan buat dirinya untuk meneruskan kehidupan di dunia. Setiap agama yang wujud di dunia ini hakikatnya mengajak dan menyeru umatnya ke arah kebaikan. Bagi umat Islam, kita perlu menerima segala apa yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW dalam melayari kehidupan ini.

Dan, tahukah anda agama ini boleh hilang dalam diri kita hanya disebabkan sifat hasad dengki. Hasad dengki ini bermaksud, mengharapkan hilangnya kenikmatan pada orang lain. Sabda Nabi SAW yang bermaksud;

“Berhati-hatilah kamu sekalian pada hasad (dengki) kerana sesungguhnya kedengkian itu dapat melenyapkan kebaikan-kebaikan, sepertimana api memakan kayu bakar.”(Hadis Riwayat Abu Daud)

#3 – Malu

Rasa malu juga adalah perhiasan bagi setiap manusia dan ia menjadi benteng bagi anggota tubuh daripada melakukan perkara yang boleh mencalarkan imej, maruah mahupun imannya sebagai umat Islam. Ini kerana malu itu adalah salah satu cabang iman dan akhlak buat para anbiya, malaikat dan orang mukmin.

Tahukah anda, sifat malu yang menjadi perhiasan diri manusia ini boleh hilang hanya kerana sifat tamak; iaitu apabila dirinya sentiasa ingin mendapatkan sesuatu yang lebih banyak untuk dirinya sendiri dan tidak berasa puas dengan apa yang telah dimilikinya.

Dengan sifat tamak, seseorang tidak akan malu untuk melakukan apa jua tindakan yang melawan hukum agama. Apabila malu hilang, maka hilanglah keperibadiannya sebagai seorang Muslim.

#4 – Amal Soleh

Salah satu perkara yang akan kita bawa bersama ke alam barzakh adalah amalan soleh yang dilakukan sewaktu di dunia. Amal soleh ini bukan hanya sekadar solat fardhu semata-mata, bahkan ia merangkumi segala perkara kebaikan yang dilakukan manusia di atas muka bumi hatta sekecil perkara seperti membuang halangan yang ada di jalan untuk kegunaan orang ramai dan pelbagai lagi.

Namun begitu, tahukah kita amalan soleh ini boleh terhapus dan menjadikan kita muflis di akhirat kelak hanya kerana sifat mengumpat; iaitu menceritakan keburukan orang lain yang telah terjadi. Adapun, memperkatakan keburukan orang lain tentang perkara yang tidak benar itu disebut sebagai fitnah dan ia lebih buruk daripada dosa membunuh.

Sungguh, betapa sia-sia sahaja dirasakan jika begini akhir kehidupan kita kelak. Pasti kita tidak mahu bukan? Nauzubillahi min zalikh. Moga kita semua dapat mengambil manfaat daripada perkongsian ini, untuk diri penulis terlebih lagi. Share dengan rakan-rakan jika bermanfaat. Wallahua’lam. Rasulullah SAW bersabda mafhumnya yang bermaksud;

“Empat perkara berharga yang terdapat dalam diri manusia antaranya; akal, agama, malu dan amal soleh. Akal boleh hilang disebabkan marah. Agama boleh hilang disebabkan dengki. Malu boleh hilang disebabkan tamak. Amal soleh boleh hilang dan terhapus disebabkan suka menceritakan keburukan orang lain.”(Hadis Riwayat Muslim)

(Sumber: Tazkirah.net oleh Marina)

Komen


Berita Berkaitan