Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

4 penduduk Kampung Sembulan diperintah bersihkan premis

sembulan

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen yang bersidang dalam Mahkamah Bergerak di Kampung Sembulan di sini, sebentar tadi, memerintahkan empat daripada lima pemilik rumah di kampung itu menjalani hukuman perintah kehadiran wajib selama sebulan.

Keputusan dibuat Hakim Ainul Shahrin Mohamad terhadap Norsidah Garingan, 57; Nurazi Ahmad, 66; Norain Lamilah, 53; dan Mohd Diah Omar, 61, selepas masing-masing mengaku bersalah mengotorkan kawasan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Ketika menjatuhkan hukuman itu, Ainul Shahrin berkata, hukuman itu memerlukan semua tertuduh membersihkan premis masing-masing setiap hari selama empat jam, dalam tempoh sebulan.

“Bagi menjamin kamu mengikut perintah ini, mahkamah mengeluarkan perintah jaminan RM2,000 tanpa cagaran kepada setiap tertuduh.

“Jika gagal mematuhi perintah kehadiran wajib selama sebulan, kamu perlu membayar jaminan, selain dikenakan denda RM10,000 atau penjara 10 minggu,” katanya.

Dalam prosiding bermula jam 10 pagi itu, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap kepada seorang lagi yang didakwa, Salma, 29, kerana gagal hadir ke mahkamah dan waran berkenaan disemak semula pada 2 September ini.

Pada 25 Julai lalu, lima penduduk Kampung Sembulan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini kerana didapati melakukan kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil 3(a) Undang-Undang Kecil Antisampah Sarap Bandaraya Kota Kinabalu 2005.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau 10 minggu dan kes kesalahan berlanjutan boleh dikenakan denda RM500 setiap hari.

Berdasarkan fakta, pada jam 9 pagi 23 Julai lalu, lima penduduk kampung itu didapati melakukan kesalahan meletak, membuang dan melonggok sampah di kawasan termasuk dalam bidang kuasa DBKK.

Sebelum mahkamah bersidang, Ainul Shahrin turun padang meninjau kembali tahap kebersihan premis lima individu berkenaan.

Beliau melakukan perkara sama pada 25 Julai lalu ketika semua tertuduh dihadapkan ke mahkamah bagi meninjau keadaan kebersihan di perkampungan atas air terbabit.

Pendakwaan kes dikendalikan Latizah Latip dan Rani Mohinder Singh dari DBKK. – BH Online

Komen


Berita Berkaitan