Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

4 Kepentingan Khusyuk Dalam Solat

9:27am 06/10/2016 Zakir Sayang Sabah 111 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Khusyuk adalah keadaan di mana seseorang menumpukan sepenuh perhatian, menyerah diri, dan merendah diri kepada Allah semasa sedang menunaikan solat.

Solat menghindarkan diri kita daripada perbuatan buruk. Tetapi, syarat untuk ia menjadi pendinding diri itu bukanlah sekadar luaran sahaja. Ia perlu disatukan bersama kekuatan dalaman dan perlunya khusyuk untuk menjadikan ia sebagai sebuah solat yang sempurna.

Khusyuk di dalam solat amat penting kerana ;

#1 – Tanda Patuh Kepada Allah

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sungguh, Aku ini Allah, tidak ada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan laksanakanlah solat untuk mengingat Aku.”

(Taha: 14)

Tujuan hidup kita adalah untuk menyembah Allah yang memiliki seluruh alam ini. PerintahNya mesti dipatuhi manakala laranganNya dijauhi.

Semasa solat, hendaklah kita meninggalkan ingatan kita terhadap dunia ini. Perhatian dan sepenuh minda kita mesti dipusatkan kepada Allah SWT. Inilah tujuan kita bersolat iaitu untuk mengingati Allah.

Oleh itu, tentulah tidak wajar untuk kita mengingati hal-hal lain dalam solat sedangkan kita sedang berhadapan dengan Allah yang telah mencipta dan meminjamkan apa yang kita miliki.

#2 – Sebagai Kayu Aras Kejayaan Orang Beriman

Solat yang khusyuk adalah tanda aras kejayaan bagi orang yang beriman. Mereka yang khusyuk ditafsirkan sebagai orang-orang yang beruntung. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sungguh beruntung orang-orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya.”

(Aa-Mu’minun: 1-2)

#3 – Menjaga Pahala Solat

Bayangkan seseorang yang hendak bersolat. Semasa memulakan solatnya, serta-merta ingatannya pergi kepada hal dunia yang memerlukan perancangan. Sepanjang bersolat, semua risiko dan jalan penyelesaian kepada masalah muncul satu-persatu.

Maka, ingatannya langsung tiada kepada Allah. Tubuhnya sahaja yang berdiri, rukuk, sujud dan sebagainya. Apa yang di dalam hati amat jauh dari Allah. Jika kita berada di tempatnya, layakkah kita menerima pahala bersolat?

Begitulah keadaan orang yang tidak khusyuk. Solat hanya memakan masa selama beberapa minit. Pada waktu itu, fokus kita seharusnya kepada Allah. Lebih malang lagi jika kita bukan sahaja tidak mampu menumpukan perhatian pada dalaman, malah luaran kita juga.

#4 – Memberi Nilai Kepada Roh

Apabila kita meninggal dunia, jasad kita tidak berguna lagi. Ia akan dimandikan, dikafankan, dan dikebumikan di dalam tanah yang kotor. Akhirnya ia mereput dan hancur bersama bumi.

Solat yang dilakukan dengan cemerlang semasa berdiri, rukuk, sujud, dan sebagainya umpama amalan kosong jika tiada khusyuk. Ini kerana khusyuk memberi nilai dalaman yang bukan berbentuk fizikal.

Maka, khusyuk memberi suatu nilai yang tinggi kepada roh.

Oleh itu, didiklah diri agar sentiasa berusaha untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat. Semoga dengan solat yang sempurna akan menghindarkan diri kita daripada kejahatan.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Anas)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan