Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,726

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

4 Ciri Muslimah Mahal Yang Disegani Lelaki Ajnabi

8:08pm 04/04/2016 Zakir Sayang Sabah 103 views i-Muslim
oki-setiana

Gambar Hiasan

Allah Swt telah berfirman:

(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (Surah An-Nur: 26)

Ia ayat penyata. Dimulakan dengan perempuan-perempuan yang baik-baik. Kemudian barulah diikuti dengan lelaki-lelaki yang baik-baik. Allah swt telah menjanjikan golongan baik-baik ini dianugerahkan pasangan yang juga dikalangan yang baik-baik. Ia nyata dan fakta dari Allah yang Maha Agung.

Jika ditanya kepada para wanita diluar sana, apakah ciri-ciri suami idaman? Pastinya ini adalah deretan jawapan yang diberikan.

“Kalau saya, saya nak yang beriman, rajin, hormat orang tua, bertanggungjawab, pandai ambil hati, tinggi, dan hensem.”

Haa.. Kan?. Bab hensem tu selalunya ada. Fitrahnya manusia hendakkan yang segala bagai lengkapnya, cantik dan hensem dimata. Namun, jika hatinya turut sama hensem ia sudah lebih dari cukup. Betul kan?

Persoalannya disini, layakkah kita, para wanita untuk menjadi isteri kepada seorang imam yang cukup sempurna itu? Kembali kepada pokok pangkal perbincangan. Wanita yang baik-baik untuk lelaki yang baik-baik.

Pernah kah kita melihat seorang wanita muslimah yang sangat menjaga pergaulannya dan yang sangat ‘mahal’ nilainya? Manakan tidak, suaranya hanya orang tertentu sahaja boleh mendengarnya, tubuhnya tidak sesuka hati boleh disentuh lelaki, pakaiannya tidak dapat discan lelaki dan tingkah lakunya menjadikan para lelaki segan untuk mendekati.

Wanita se’mahal’ ini pasanganya adalah lelaki yang ‘mahal’ juga. Hanya si panglima soleh sahaja mampu menjadi imam kepada
wanita seperti ini. Kan?

Mari kita telusuri bersama-sama keperibadian si solehah ini, sebagai modus operandi menumpang ombak solehahnya. Antara elemen yang perlu diperhatikan adalah pakaian, tingkah laku dan pergaulan juga tutur katanya. Bagaimana perlaksanaannya?

Ciri #1 – Pakaian Yang Menutupi Tubuhnya

Imej pakaian seorang solehah itu menutupi keseluruhan tubuhnya. Pakaian tersebut semestinya longgar, berwarna gelap, memakai stokin juga kasut yang tidak berbunyi. Senang cerita bila si solehah lalu, si ajnabi lelaki tidak akan pusingkan muka 2 kali. Malah hendak lihat dari hujung ke hujung pun jauh sekali.

Maka terhindarlah si solehah ini dari panahan mata syaitan yang akan menjerumuskan ke lembah kehinaan. Oh ya, bab tudungnya perlu disentuh juga. Sanggul si solehah rendah dan sedang-sedang sahaja, tidak perlu terlalu tinggi seperti bonggol unta. Juga amat penting tudung dilabuhkan menutup dada.

Cuba bayangkan jika perempuan yang Allah jadikan indah setiap inci ini memakai pakaian yang sebaliknya dari apa yang telah disebutkan. Maka berbondonglah lelaki bermata liar cuba menjalar. Lalu, agak-agak apa yang akan terjadi?

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (Surah Al-Isra’: 32)

Sungguh, setiap syariat yang Allah telah gariskan sebenarnya memberi manfaat kepada manusia itu sendiri. Bukankah Allah yang telah menciptakan kita, hamba-hambaNYA. Maka sudah tentu, pencipta kita lebih faham dan tahu tujuan diperintahkan setiap sesuatu.

Ciri #2 – Tingkah Lakunya

Si solehah itu tingkah lakunya sopan juga sering menundukkan pandangan. Solehah itu terpelihara dalam tingkahnya hingga lelaki ajnabi naik segan untuk mendekati. Hal ini kerana, dia semestinya tidak akan sewenang-wenangnya mendekatkan diri dengan lelaki ajnabi tanpa urusan.

“Saya segan dengan dia”, kata si lelaki. Perkataan itu lebih baik daripada si lelaki berkata “Ala, si minah tu ke?”. Agak-agak kata yang mana ada ‘can’ dipilih sebagai menantu?

Si solehah juga sentiasa menjaga solatnya juga rajin berbakti kepada kedua orang tua. Jika telah berkahwin, maka suami menjadi tempat rujukan dan curahan bakti. Maka benarlah wanita solehah itu sebai-baik perhiasan dunia. Tenang lagi menenangkan. Damai lagi mendamaikan.

Ciri #3 – Tutur Kata

Wanita itu punya suara lunak dan merdu. Wooh!! Jika memujuk rayu, habislah lelaki gagah perkasa lemah longlai dibuatnya. Si solehah itu hanya menggunakan suaranya yang lembut pada yang halal sahaja. Jika berhadapan dengan lelaki bukan mahram, suaranya cuba ditegaskan seboleh yang mungkin.

Meminimakan isi perbualan. Menjadikan suaranya mahal untuk kedengaran. Yang mahal sudah tentu tidak ‘murai’ tanpa arah, atau terpekik, juga ketawa tak ingat dunia. Oh, itu bukanlah ciri seorang solehah sebaliknya itu tolehah.

Ciri #4 – Pergaulan

Dalam aspek pergaulan pula, percampuran antara lelaki dan perempuan perlu kita perhatikan. Tidak dinafikan dimana sahaja percampuran antara lelaki dan perempuan ini kelihatan. Baik di tempat belajar ataupun di tempat berkerja. Namun, bagaimana si solehah menempatkan dirinya perlu diberi perhatian.

Kebiasaanya, si solehah ini cuba mengelakkan untuk melibatkan diri bekerja bersama lelaki ajnabi. Seboleh mungkin dielakkan, apatah lagi jika kerja kumpulan yang melibatkan 2 orang sahaja. Pintu syaitan itu terbuka luas apabila melibatkan seorang lelaki dan seorang perempuan. Dan itulah yang seboleh mungkin dielakkan.

Di satu sisi kelihatannya si solehah ini mempunyai batasan yang telah ditetapkan sendiri. Dan ia menjadi kayu pengukur untuk dia bertindak dalam konteks pergaulan antara lelaki dan perempuan. Kuncinya adalah minimakan selagi boleh. Selain itu, si solehah juga sangat risau jika melihat ada lelaki yang cuba memberi perhatian kepadanya. Hal ini kerana, sudah tentu ada salah dimana-mana jika lelaki memberi keistimewaan.

Lalu dalam masa ini, ketegasan dan prinsip diri perlu diutamakan. Jangan dipandang kepada lelaki itu, tapi pandanglah apa kata pencipta lelaki itu. Yang Maha Tahu segala isi hati setiap sesuatu.

Demikianlah keperibadian si solehah yang boleh kita ambil pengajaran dan ikutan. Terlalu banyak lagi sisi yang boleh dibincangkan. Dari segi akhlaknya, ibadahnya, nilai murninya, ilmunya dan sebagainya. Yang telah disebutkan adalah yang asas sahaja. Allah SWT telah mengajarkan kita doa dalam Al-Quran:

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. (Surah Al-Furqan: 74)

Maka berdoalah. Mohon Allah jadikan kita semua wanita solehah untuk kita menerima bakal suami soleh dan bertaqwa. Minta selalu padaNYA, yang memiliki juga mengetahui setiap isi hati. Semoga wanita-wanita diluar sana dipermudahkan urusan menjadi solehah. Bakal bidadari syuga Insyaallah.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Juwairiyah Kamil)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan