Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,723

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

4 Ciri-ciri Model Terbaik Remaja Muslim

9:50am 15/11/2016 Zakir Sayang Sabah 0 views i-Muslim
help

Gambar Hiasan

Dalam kegelapan malam, Rasulullah S.A.W melangkah keluar dari rumahnya dengan perlahan-lahan. Lidahnya membaca ayat 9 dari surah Yasin yang bermaksud:

“Dan kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding (pula), dan Kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat.”

Malam itu, perjalanan Rasulullah dari Makkah ke Madinah bakal menjadi sejarah penting dalam Islam. Namun, perjalanan itu harus menempuh bahaya terlebih dahulu. Nyawa Rasulullah seolah-olah dihujung tanduk.

Lalu, masuklah musuh ke rumah Baginda dan menyelak selimut yang sepatutnya menyelimuti Rasulullah. Alangkah terkejutnya apabila yang dicari tiada di tempatnya. Wajah seorang anak muda pula yang berada di depan mata. Itulah Ali bin Abi Talib yang mempertaruhkan nyawanya dengan baring dan tidur di katil Rasulullah S.A.W saat baginda mencari jalan menyebar dakwah.

Kehebatan para remaja di zaman Rasulullah amat mengagumkan. Keberanian dan semangat mereka memberi sumbangan besar dalam sejarah Islam. Mereka adalah model remaja muslim sebenar.

Hati ini amat menginginkan diri sehebat itu. Namun, apakah yang perlu dilakukan untuk menjadi model remaja muslim?

Berikut adalah ciri-ciri seorang model remaja muslim:

1- Mengagungkan Allah

Seorang remaja muslim melakukan semuanya dengan tujuan untuk mengagungkan Allah s.w.t. Di dalam hatinya ada Allah. Cintanya kepada Allah lebih tinggi daripada kecintaannya kepada makhluk dan alam ini. Perkara-perkara yang menjauhkannya dengan Allah seperti mengumpat dan membuat fitnah dihindarkan. Apa yang dibenci Allah, dibenci oleh dirinya juga. Apa yang dicintai Allah, dia juga mencintainya.

Pada usia remaja inilah seorang remaja muslim merebut peluang untuk beramal. Dia menjaga solat terutama solat berjemaah, berpuasa, membaca al-Quran dan istiqamah dalam amal kebaikan.

Hatinya mencari kemanisan iman dan menjaganya saat ia merasainya. Bibirnya sentiasa memuji Allah. Setiap saat hatinya mengharap kepada kasih Allah lalu ia menyerahkan urusannya kepada Allah dengan usaha, doa dan tawakal.

2- Membentuk Akhlak Mulia

Model remaja Islam mempunyai akhlak yang mulia. Hidupnya bersandarkan kejujuran dan sifat amanah. Dia tahu memungkiri janji itu sifat orang munafik, lantas dia cuba sedaya-upaya memenuhi janjinya. Hatinya dipenuhi keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan. Ini kerana hidup ini tujuannya hanyalah untuk Allah s.w.t. Maka remaja Islam berusaha untuk mendapatkan redha Allah.

Dia amat menjaga apa yang keluar dari bibirnya. Hanya yang baik disebut lidahnya. Jika tiada yang baik, maka dia memilih untuk berdiam diri. Sifat sabar dan memaafkannya sering menjadi contoh bagi remaja yang lain. Dia tenang dalam menghadapi dugaan. Dirinya terkenal tabah. Ini kerana dia yakin Allah Maha Mengetahui dan memberikan yang terbaik dalam setiap langkah hidupnya.

Sifat murah hati remaja muslim menyebabkan dia disenangi bukan sahaja oleh makhluk Allah, tapi yang lebih penting ialah Allah S.W.T. Melihat kesusahan orang lain membuatkan hatinya tersentuh. Jika tak dapat tangan menghulurkan bantuan, doa akan dititipkan.

Kesihatan diri dijaga. Kebersihan diutamakan malah melihat dirinya membuatkan diri berasa aman dan damai. Dalam kesederhanaan, penampilannya sentiasa kemas dan menyejukkan mata yang memandang.

3- Membina Hubungan Yang Sihat

Model remaja Islam mempunyai rasa malu yang menghindarkan dirinya daripada terjerat oleh maksiat dan fitnah dunia.

Ia menjaga rasa malu yang menjadi sebahagian daripada iman. Hubungannya dengan manusia dijaga dengan rasa persaudaraan. Oleh itu dia sering mengingatkan saat keluarga dan sahabatnya terlalai dan terleka. Namun, tegurannya dilakukan dengan lemah-lembut seperti menarik rambut di dalam tepung.

Model remaja muslim juga tahu memilih teman. Hatinya tertaut pada kebaikan dan menolak kejahatan. Walau beribu teman dimilikinya, namun dia berusaha untuk menjaga kehormatan diri. Hubungannya dibina diatas dasar mencintai Allah S.W.T.

4- Mencari Ilmu

Mencari ilmu adalah tugas yang tidak pernah berhenti. Alam ini terlalu luas untuk diterokai setiap satu rahsianya. Model remaja muslim memantapkan akalnya dengan menuntut ilmu. Impiannya besar. Cita-citanya tinggi. Dia mempunyai visi dan misi dalam hidup ini.

Amal ibadahnya diperbaiki dengan menghadiri majlis-majlis ilmu. Cintanya kepada ilmu adalah kerana cinta Allah kepada orang berilmu.

Oleh itu, waktunya dimanfaatkan untuk mencari ilmu, untuk belajar. Sedikit pun dia tidak merasa jemu malah hatinya sentiasa rindu. Dia tahu ada masanya iman akan teruji. Lalu dia mencari ilmu agar dia sering diingatkan oleh kebesaran Allah.

Semakin banyak dia mencari, semakin dekat hatinya dengan Allah S.W.T. Semakin banyak ilmu yang dicari, semakin rendah hatinya kepada Allah.

Dia berusaha untuk menjadikan ilmunya suatu yang bermanfaat. Lalu, ilmu itu dikongsi kepada yang lain juga agar sama-sama mendapat kebaikan. Apa jua ilmu yang mendekatkan dirinya dengan Allah, itulah yang baik bagi dirinya.

Begitulah serba-sedikit ciri-ciri remaja muslim untuk diterapkan di dalam hati para remaja yang bakal menjadi pemimpin masa depan.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Anas)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan