Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,689

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

377 Guru Baharu Anak Tempatan Ditempatkan Di Sabah Mulai Isnin

7:19pm 21/07/2016 Pak Roshan 2203 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir
gambar hiasan

gambar hiasan

KOTA KINABALU :  Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bakal menempatkan seramai 377 guru baharu anak tempatan Sabah di semua sekolah rendah di seluruh negeri mulai 25 Julai ini, kata Pengarahnya Maimunah Suhaibul.

Beliau berkata guru berkenaan adalah antara 576 pelajar lepasan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) berasal dari Sabah yang lulus dalam temu duga tahun lepas.

Katanya, guru berkenaan akan menggantikan seramai 300 guru berasal dari Semenanjung dan Sarawak yang telah mendapat surat kelulusan bertukar dari Sabah.

“Dengan penempatan ini, maka selesailah isu guru-guru tempatan Sabah lulusan IPGM yang belum mendapat penempatan pada awal tahun.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil langkah untuk membuat sesuatu pertukaran khas secara besar-besaran pada Julai ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Hari Raya peringkat JPNS di sini, Khamis.

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan isteri Datin Seri Faridah Tussin serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun yang juga Exco Pendidikan negeri.

Dalam pada itu, Maimunah berharap guru asal Sabah yang mendapat penempatan tersebut agar sentiasa bersedia untuk berkhidmat di sekolah rendah di pedalaman berikutan keperluan lebih tertumpu di kawasan terbabit.

Mengulas lanjut, Maimunah berkata, pada Jun lalu, seramai 248 guru baharu asal Sabah lulusan IPGM telah menerima surat pelantikan daripada JPNS sekali gus ditempatkan di sekolah rendah di seluruh negeri ini.

Beliau berkata penempatan kesemua guru baharu berasal dari Sabah untuk berkhidmat di negeri sendiri adalah bagi memenuhi sekali gus mencapai matlamat dasar 90:10 atau 90 peratus guru di Sabah dan Sarawak diisi oleh anak tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Maimunah berkata JPNS akan melantik lebih 500 guru secara Interim bagi mengisi kekosongan guru di sekolah menengah di seluruh Sabah terutama di beberapa daerah seperti Pitas, Kudat, Sandakan, Kinabatangan dan Lahad Datu.

Katanya anak tempatan Sabah yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan layak untuk memohon sebagai guru secara Interim.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan