Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

373 Pati Ditahan Dalam ‘Operasi Bersepadu’ Di Sabah

escom1

KOTA KINABALU, 3 April (Bernama) — Sebanyak 373 pendatang asing tanpa izin (PATI), majoritinya dari Filipina dan Indonesia, ditahan dalam ‘Operasi Bersepadu’ yang diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah selama dua hari, berakhir pagi Jumaat.

Setiausaha MKN Sabah Rodzi Md Saat berkata kesemua PATI ditahan berusia antara lapan bulan dan 58 tahun itu adalah sebahagian daripada warga asing yang diperiksa dalam operasi dijalankan di kawasan setinggan dan tapak pembinaan di daerah Kota Kinabalu dan Penampang.

“Selepas siasatan awal, kami menahan 375 orang dan mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1953/63 (Pindaan 2002). Penahanan mereka itu dibuat dalam 18 serbuan yang dilakukan.

“Sejumlah 375 PATI yang ditahan itu menunjukkan operasi ini berjaya mencapai sasaran yang tinggi berikutan pelbagai usaha bersepadu oleh agensi-agensi kerajaan dari segi aset dan sumber tenaga,” katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata sasaran utama Operasi Bersepadu pertama dan kedua Siri 2015 itu ialah terhadap mereka yang langsung tidak mempunyai dokumen, manakala mereka yang memiliki dokumen perlu mendapat pengesahan pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Rodzi berkata sekiranya dokumen yang disahkan itu benar, pemiliknya akan dibebaskan dan jika sebaliknya, dokumen tersebut akan dirampas dan individu terbabit akan ditahan.

“Ini sebenarnya operasi pertama dijalankan menggunakan Peruntukan Khas diterima daripada kerajaan Pusat. Peruntukan khas itu diberikan kepada MKN berikutan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang kemudiannya diikuti dengan penubuhan dua jawatankuasa bagi mengkaji laporan tersebut,” katanya.

Rodzi berkata peruntukan awal yang diterima adalah kira-kira RM2.3 juta dan jumlah berkenaan akan dikaji semula berdasarkan kepada perkembangan operasi itu.

Dalam pada itu, beliau berkata tiada majikan yang ditahan kerana menggaji pendatang asing tanpa izin terbabit, namun Jabatan Imigresen dan JPN akan menyiasat segala maklumat yang diterima agensi-agensi berkenaan.

Sementara itu, sehingga 3 April tahun ini, sejumlah 5,964 PATI ditahan di empat Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah, iaitu 1,071 di PTS Kota Kinabalu, PTS Papar (2,385), PTS Sibuga, Sandakan (1,095) dan PTS Tawau (1,413).

Rodzi juga berkata bahawa dari 1 Jan hingga April tahun ini, sebanyak 6,053 PATI dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan