Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

355 Kampung Di Sabah Terjejas Akibat Cuaca Kering – JPAM

11:38am 31/03/2016 Pak Roshan 122 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

kebakaran labuan

KOTA KINABALU : Sebanyak 355 kampung di 22 daerah di negeri ini terjejas dan berdepan masalah bekalan air susulan cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) negeri, Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata daerah Pitas merupakan antara yang terjejas teruk melibatkan 53 kampung, diikuti daerah Tuaran (43 kampung), Kota Kinabalu khususnya di Inanam (36 kampung), Kota Belud (26 kampung) dan Beaufort (23 kampung).

“Daerah lain yang turut menerima kesan sama adalah di Kuala Penyu, Kudat, Papar, Ranau, Sook, Tawau, Keningau, Penampang, Membakut, Tambunan, Tenom, Menumbok, Telupid serta Kota Marudu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan bekalan air dapat disalurkan kepada kampung-kampung yang terjejas.

“Sekiranya menerima laporan, kami akan bergerak ke kampung berkenaan untuk membuat pengesahan tentang laporan itu. Selepas membuat laporan kepada pegawai daerah dan barulah penghantaran air bersih dibuat dengan kerjasama beberapa agensi termasuk bomba, tentera, jabatan air dan Jabatan Kerja Raya.

“Ini merupakan kerjasama secara bersepadu untuk memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan kepada penduduk yang terjejas,” katanya.

Pada masa sama, Mulliadi berkata 21 kampung di Kota Belud dan 19 kampung di Pitas dilaporkan mengalami kerosakan atau kemusnahan tanaman.

Katanya jenis kerosakan tersebut membabitkan tanaman padi, getah dan ladang kelapa ekoran cuaca panas dan kering.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan