Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

33 Peserta Miskin Tegar Dibantu

pic-83

 

BEAUFORT : Seramai 33 peserta miskin tegar yang telah dikenal pasti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan akan dibantu menerusi projek Mini Estet Sejahtera (Mesej) di Kampung Gerama, dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Kamarlin Ombi berkata, tanah seluas 103.6 hektar di kawasan tersebut akan diusahakan oleh peserta program Mesej bersama pelbagai agensi selain mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri.

Katanya, menerusi kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), projek itu dilihat mampu membantu golongan miskin tegar menjana pendapatan, sekali gus meningkatkan taraf hidup peserta.

Menurutnya, projek penanaman kelapa sawit itu bukan sahaja memberi manfaat besar kepada golongan sasar bahkan bakal melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri dalam bidang tersebut.

“Projek ini dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada awal tahun depan dan beberapa kemudahan lain termasuk kawasan perumahan serta keperluan asas turut disediakan kepada peserta program Mesej ini,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan ke kawasan projek Mesej Gerama di sini baru-baru ini.

Kamarlin yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata, projek yang dilaksanakan itu merupakan langkah strategik kerajaan negeri bagi meningkatkan pendapatan rakyat ke tahap yang memuaskan.

Tambahnya, pelaksanaan program itu juga mampu menangani gejala kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat luar bandar.

“Sejak Mesej dilaksanakan oleh kerajaan negeri, belum pernah program ini mengalami kegagalan, malah terbukti berjaya membantu golongan sasar bebas daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, program itu merupakan bukti jelas kepada usaha berganda kerajaan dalam mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini, sekali gus menangkis dakwaan pihak pembangkang yang menyatakan kerajaan negeri tidak membela nasib rakyat miskin.

Jelasnya, pihak pembangkang sengaja ‘membutakan’ mata untuk tidak melihat usaha keras kerajaan membantu golongan yang memerlukan.

“Inilah kerja pembangkang. Tidak pernah senang dengan segala usaha baik kerajaan kepada rakyat, sebaliknya mereka berusaha memburuk-burukkan kerajaan yang telah banyak membantu orang ramai tanpa mengira bangsa,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan