Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,695

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

324 Panggilan Kecemasan Selamatkan Harta Benda Lebih 10 Juta Di Tawau

6:56pm 22/09/2016 Pak Roshan 1281 views Mutakhir,Tawau,Tempatan

bomba

TAWAU :  Hasil tindakan pantas terhadap 324 panggilan kecemasan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Tawau telah dapat menyelamatkan harta benda bernilai lebih RM10 juta di daerah ini dari Januari sehingga hari ini.

Penguasa Zon Tawau, Ismaidi Ismail berkata taksiran kerugian harta benda dalam tempoh itu pula adalah sebanyak RM4 juta.

“Ini adalah hasil respons kami yang cepat dan juga kerjasama orang ramai yang memaklumkan kes kebakaran dengan segera,” katanya pada Majlis Pentauliahan Kadet Bomba Zon Tawau 2016 di sini, hari ini.

Dalam pada itu menurutnya hanya empat panggilan palsu diterima pihaknya sepanjang tempoh berkenaan.

Sementara itu, bagi Zon Tawau yang meliputi daerah Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu katanya sebanyak 551 operasi kebakaran direkodkan membabitkan pelbagai kategori termasuk melibatkan struktur (30), lalang (113) dan kenderaan (11) pada tempoh sama.

Menurutnya, bagi operasi penyelamatan pula sebanyak 199 operasi direkodkan antaranya kemalangan jalan raya (61), memusnahkan sarang tebuan (32), menangkap ular dan biawak (65) dan lain-lain operasi (41).

Mengenai majlis itu, Ismaidi berkata program itu merupakan pengiktirafan kepada semua kadet bomba yang berjaya menjalani peperiksaan merangkumi pelbagai aspek kebombaan yang telah dilaksanakan.

“Daripada keseluruhan ahli kadet bomba yang hadir sebanyak 76 peratus mengambil peperiksaan dan ini merupakan satu permulaan baik bagi zon ini dan saya berharap ianya dapat ditingkatkan pada masa akan datang,”katanya lagi.

Beliau berkata, program berkenaan juga diadakan bagi memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan jabatan seiring ke arah melahirkan modal insan berpengetahuan mengenai kesedaran dan bahaya kebakaran serta langkah pencegahan.

Sejumlah 93 kadet dari enam buah sekolah di daerah ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau, SMK Kuhara, SMK Jambatan Putih, SMK Balung dan SMK Jalan Apas, SMK Umas dipakaikan pangkat.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan