Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,792

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

323 rusa kutub mati dipanah petir

9:54am 31/08/2016 Pak Roshan 1253 views Global
rusa

GAMBAR menunjukkan bangkai rusa kutub bergelimpangan selepas mati dipanah petir di dataran gunung di Norway. – Reuters

Oslo: Lebih 300 rusa kutub mati akibat dipanah petir di tengah Norway, kejadian yang disifatkan pegawai hidupan liar sebagai bencana besar luar biasa.

Agensi Alam Sekitar Norway semalam mengedarkan imej menunjukkan bangkai haiwan itu berselerakan di kawasan kecil di dataran Gunung Hardangervidda.

Menurut agensi berkenaan, 323 rusa kutub mati.

Tragedi itu dipercayai berlaku ketika ribut petir Jumaat lalu.

Lima haiwan yang terselamat terpaksa ditembak mati kerana kecederaan yang dialami.

Jurucakap Agensi Alam Sekitar, Kjartan Knutsen berkata, bukan sesuatu yang luar biasa bagi rusa kutub atau hidupan liar lain mati kerana dipanah petir.

Bagaimanapun, katanya, ini kali pertama mereka berdepan dengan jumlah sebanyak itu.

Menurut Knutsen, kutub utara memang terkenal kerana sering berkumpul dalam satu kumpulan besar ketika cuaca buruk.

“Ini mungkin dapat menjelaskan bagaimana sejumlah besar haiwan itu mati serentak apabila dipanah petir,” katanya.

Ribuan rusa kutub berhijrah merentasi dataran Hardanangervidda apabila cuaca berubah.

Pakar berkata, kejadian semalam dipercayai kematian paling banyak dalam kalangan haiwan dalam satu kejadian petir.

Pada 2005, 68 lembu mati serentak dalam kejadian dipanah petir di sebuah ladang ternakan di Australia. – Agensi/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan