Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,688

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

8 Tip Agar Cepat Menunaikan Haji

4:12pm 19/10/2016 Zakir Sayang Sabah 88 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Dapat menunaikan rukun Islam yang kelima adalah impian setiap umat Islam.

Walaupun ia tidak diwajibkan kepada seluruh umat Islam melainkan kepada yang mampu, masih ramai yang menanam cita-cita. Lebih-lebih lagi apabila mendengar pengalaman-pengalaman mereka yang menunaikan haji. Terasa ingin terus berada di sana, cuma masih belum ada rezeki lagi.

Dengan segala macam halangan bukanlah bererti tiada harapan. Usaha masih perlu dilakukan bermula sekarang. Semoga dengan usaha ini, Allah memberi kesempatan untuk kita menjadi tetamunya kelak. Berikut adalah beberapa tip supaya kita juga berpeluang mengerjakan ibadah haji dengan cepat jika diberi keizinan DariNya.

1 – Berazam

Kuatkan azam untuk melaksanakan ibadat haji. Tidak cukup dengan selalu menyebutnya di bibir, tapi perlu dibulatkan tekad. Semangat perlu ada untuk bersungguh-sungguh menunaikan rukun kelima.

2 – Mencari Ilmu

Walaupun kita belum lagi dapat menunaikan ibadah haji, dapatkan seberapa banyak ilmu tentangnya. Dengan mencari ilmu, kita akan lebih bersemangat untuk melaksanakan haji. Kita juga akan lebih bersedia untuk melaksanakan ibadat haji apabila dijemput ke sana kelak.

3 – Berdoa

Doa adalah senjata yang paling berkesan. Allah SWT sentiasa mendengar permintaan hamba-hambaNya. Maka, banyakkanlah berdoa kepada Allah agar dimudahkan niat kita. Panjatkanlah doa di setiap solat fardhu dan solat-solat sunat yang lain. Semoga doa kita dimakbulkan Allah.

4 – Menjadi Anak Soleh

Pasti ada yang terfikir apa kaitan menjadi anak soleh dengan dapat menunaikan haji? Doa sebagai anak soleh dan solehah insyaAllah akan dimakbulkan oleh Allah. Ini kerana anak yang soleh dan solehah amat dicintai Allah. Doakan kebaikan dunia dan akhirat buat kedua-dua ibu bapa kita.

5 – Bersangka Baik Dengan Allah

Kehidupan ini tempat untuk kita diuji. Kesenangan juga merupakan salah satu dari ujian. Adakalanya ujian datang tanpa henti sehingga kita merasa lelah dalam menghadapinya. Yakinlah dengan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Jangan sekali-kali berputus asa. Jalani hidup dengan sabar kerana Allah sentiasa bersama mereka yang bersabar dengan ujianNya. Di penghujungnya pasti ada ketenteraman.

6 – Menabung

Mulakan menabung. Di Malaysia, kita mempunyai Tabung Haji di mana kita boleh mula menyimpan wang untuk menunaikan fardhu haji. Ia adalah langkah awal kepada impian kita. Walaupun jumlah tabungan kita mungkin tidak banyak, teruskan menyimpan dengan konsisten. Daftar haji segera bila ada wang yang cukup untuk mendaftar haji.

7 – Beramal

Banyakkan amalan. Di mana-mana , ada saja insan yang kurang bernasib baik jika dibandingkan dengan kita. Ringankan tangan untuk menghulurkan sedekah kepada mereka yang memerlukan.

Ramai yang memerlukan bantuan kita termasuk fakir miskin, anak-anak yatim, gelandangan dan sebagainya. Menderma di masjid-masjid juga adalah langkah mudah untuk beramal.

8 – Mengikut Perintah Allah

Allah memiliki seluruh alam ini maka kepada Allah lah tempat kita meminta. Oleh itu, tunaikan perintah Allah dengan sebaik-baiknya. Berusahalah untuk menjauhi segala perbuatan maksiat yang hanya menjauhkan kita dari Allah. Usah menjadi kebencian Allah. Jadilah hamba Allah yang dikasihiNya.

Tiada yang mustahil di sisi Allah. Jika Allah mahu kita menjadi tetamuNya di sana, tiada apa yang boleh menghalang.

Malah, Allah sudi memakbulkan doa kita dengan cara yang tidak disangka-sangka. Semoga Allah memberi kita peluang untuk merasai kemanisan menunaikan rukun Islam yang kelima pada masa akan datang.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Anas)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan