Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,805

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

30 Peratus Kapal Nelayan Di Lahad Datu, Kunak, Semporna, Dicadang Ada Anggota Keselamatan

7:47pm 30/09/2016 Pak Roshan 591 views Mutakhir,Tawau,Tempatan

22 sandakan nelayan

TAWAU : Gabungan Persatuan Perikanan dan Kapal Nelayan Sabah mencadangkan agar 30 peratus daripada kapal-kapal nelayan yang beroperasi di laut ditempatkan satu atau dua anggota keselamatan pada satu-satu masa.

Pengerusinya, Arsani Arsat berkata gesaan saranan itu bagi menjamin keselamatan para nelayan yang menangkap ikan di laut.

“Kami tahu mereka tidak dapat memenuhi cadangan untuk menempatkan anggota di setiap kapal tetapi, kami minta memadai sekiranya 30 peratus daripada 300 kapal untuk di Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang sering menjadi sasaran penjenayah rentas sempadan kebelakangan ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, cadangan itu adalah melihat kepada pengurangan sasaran jenayah rentas sempadan terhadap industri pelancongan di pantai timur Sabah ekoran penempatan anggota keselamatan di pusat-pusat pelancongan.

“Saya kira, kerajaan juga boleh mempertimbangkan perkara penempatan ini kerana susulan insiden penculikan yang kerap berlaku di Lahad Datu dan Semporna, anak-anak kapal mulai takut untuk turun ke laut sekali gus memberi kesan kepada industri perikanan di pantai timur Sabah,” katanya lagi.

Arsani berkata ketika ini industri perikanan di Kunak merudum apabila 60 kapal melibatkan kapal besar dan kecil di sana tidak keluar ke laut kerana anak-anak kapal yang rata-rata warga Indonesia itu berasa takut dengan insiden penculikan yang menyasarkan para nelayan.

Dalam pada itu, mengenai pemasangan Sistem Pengenalan Automatik (AIS) katanya pihaknya telah memesan 200 sistem tersebut daripada sebuah syarikat pembekal untuk dipasangkan kepada kapal-kapal di Tawau dan Sandakan.

“Dijangka separuh daripada jumlah yang dipesan itu akan dipasangkan pada Oktober ini,” katanya lagi.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan