Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,668

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

3 Sebab Mengapa Doa Masih Belum Dimakbulkan

3:48pm 17/06/2016 Zakir Sayang Sabah 174 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Sempena bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, tentu ramai sekali yang mahu mengambil kesempatan berdoa bersungguh-sungguh dan mengharapkan segala hajat yang didoakan termakbul. Masakan tidak, di dalam bulan Ramadhan terhimpun banyak waktu-waktu istajab-nya doa.

Pun begitu, sebahagian kita merasakan sepertinya doa-doa kita di siang dan malam Ramadhan, tidak dijawab oleh Allah. Apa yang kita hajatkan sangat tidak juga kunjung tiba. Jadi di mana silapnya?

Kembalikan soalan di mana silapnya itu, kepada diri kita sendiri. Di mana silapnya kita dalam berdoa? Ada tiga perkara yang perlu difaham dengan baik mengenai doa.

  • Persepktif Doa

Ramai orang telah tersalah faham akan konsep sebenar doa itu sendiri. Doa bukan magik. Hari ini kita minta sebuah Lamborghini, esok bangun pagi kita mengharapkan kereta tu tersedia berada di garaj hadapan rumah.

Doa sebenarnya adalah sebuah tekad dalam usaha mencapai sesuatu. Dengan berdoa, ianya bermaksud, kita meminta kepada Allah untuk membantu kita mencapai perkara yang kita impikan.

Oleh itu, apabila kita semak di dalam Al-Quran, kita takkan jumpa ayat-ayat doa yang semudah ‘Ya Allah berilah aku ….. ‘ dan Allah terus beri tanpa ada apa-apa prasyarat sebelum Allah melunaskan permintaan itu.

Sebagai contoh, mari kita perhatikan kisah Maryam ketika dalam saat yang sangat merumitkan; saat melahirkan anaknya Nabi Isa AS. Seorang diri tanpa ada sesiapa yang membantu, beliau sememangnya seorang wanita tabah yang sangat tinggi martabatnya. Kisah ini diceritakan Allah dalam Surah Maryam.

Ujian ini terlalu berat buat Maryam, bermula dengan berita beliau sedang hamil walaupun tidak pernah bersuami, kini terpaksa pula melahirkan tanpa bantuan sesiapa pun. Tetapi tidaklah Allah akan mensia-siakan setiap hambaNya. Allah jadikan di kaki Maryam sebatang sungai, dan pohon tempat bersampar itu berbuah.

Pun begitu, tidaklah Allah berikan semua itu tanpa usaha Maryam sendiri. Perhatikan ayat 25 dari Surah Maryam.

وَهُزِّىٓ إِلَيۡكِ بِجِذۡعِ ٱلنَّخۡلَةِ تُسَـٰقِطۡ عَلَيۡكِ رُطَبً۬ا جَنِيًّ۬ا (٢٥)

Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. (25)

Maka lihatlah sendiri, bagaimana Allah mengajarkan kepada kita, bahawa setiap sesuatu pasti perlukan kepada usaha dan doa adalah suatu bantuan motivasi agar kita memperoleh apa yang dihajatkan. Doa menjadi suatu penguat bagi kita hamba yang lemah, bahawa Allah sentiasa ada dalam setiap permasalahan hidup kita.

Di saat sakit melahirkan itu, Maryam tetap juga perlu berusaha menggongcang pohon tamar bagi mendapatkan buahnya. Begitulah cantiknya Allah menjawab permintaan Maryam. Ianya pelajaran buat semua kita.

  • Qudwah Dalam Berdoa

Sudah pasti contoh ikutan kita dalam berdoa adalah doa-doa yang terdapat dalam Al-Quran yang dilafazkan oleh para Nabi. Doa-doa mereka adalah doa yang terbaik. Diterima oleh Allah.

Oleh itu, sebagai usaha kita menjadikan doa-doa kita  di dalam Ramadhan ini dimakbulkan Allah adalah dengan mengikut rapat setiap sunnah para Nabi kita ini.

Mungkin ramai antara kita yang terlepas pandang akan perkara ini. Akibat terlalu gopoh dan tidak sabar mahu doa dimakbulkan cepat, kita lupa untuk memuji dan mengagungkan Allah dalam setiap doa kita!

Ya, itulah sunnah doa para Nabi. Di setiap permulaan doa mereka, pasti ada kata memuji mengagungkan kebesaran Allah. Kemudian baru disusuli dengan permintaan.

Ianya suatu pengiktirafan, bahawa Allah sahajalah yang mampu memakbulkan segala hajat kita di dunia mahupun di akhirat. Hatta kita nak minta tolong pada manusia pun, kita puji dan bercakap dengan baik dengan orang yang kita minta tolong tu, inikan pula minta dengan Allah?

Dengan kesilapan dan kelalaian kecil ini, adakah layak doa kita diterima dan dimakbulkan oleh Allah? Tepuk dada tanyalah diri sendiri.

  • Waktu Paling Mustajab

Ada satu pepatah yang sangat mendalam maksudnya. Seharusnya menjadi muhasabah buat kita semua, apakah kita ini benar-benar telah berdoa.

“ Kita masih belum betul-betul serius berdoa meminta dimakbulkan sesuatu hajat itu,selagi ¾ akhir malam masih sepi dari sujud tahajjud dan doa kita.”

Ya, di penghujung malam itulah masa yang mustajab doa kita. Kita semua tahu akan hal ini. Tinggal lagi sejauh mana usaha kita mengambil peluang ini yang datang SETIAP HARI dalam kehidupan kita.

Dalam sebuah riwayat dari Muslim, nabi bersabda; waktu paling dekat seorang hamba dengan Allah adalah dalam sujudnya.

كَلَّا لَا تُطِعۡهُ وَٱسۡجُدۡ وَٱقۡتَرِب ۩ (١٩)

Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)! / (19)

Sujud dan mendekatlah kepada Allah. Pada saat kita sangat hampir dengan Allah itu, berdoalah. Mintalah kepadanya. Nescaya doa itu tidak akan disia-siakan Allah.

Akhirnya, yakinlah saat kita sedang berdoa Allah Maha Mendengar akan permasalahan kita.  Bersyukurlah, hakikatnya berdoa itu sendiri adalah satu nikmat dan taufik dari Allah. Kerana di luar sana masih ramai lagi manusia yang angkuh dan sombong tidak mahu meminta kepada Yang Maha Memberi.

(Sumber: QuranicGen.com)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan