Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tiga Projek PPR di Sabah Lewat, Rakyat Lambat Dapat Manfaat – AUDIT

ppr

KUALA LUMPUR : Kelewatan penyiapan tiga projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di Sabah menyebabkan golongan sasar lambat mendapat manfaat daripadanya, menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 1.

Laporan itu menyebut tiga projek PPR terbabit adalah PPR Pekan Kinarut, Papar; PPR Kampung Semarak, Tawau; dan PPR Lintas Sabuga, Sandakan; yang kesemuanya melibatkan 1,725 unit dan kos asal projek RM140.99 juta.

“Ketiga-tiga projek itu disiapkan dengan tempoh lanjutan masa (EOT) antara 624 hingga 2,504 hari.

“Bagaimanapun, kelulusan EOT tersebut telah menyebabkan kelewatan projek siap dan golongan sasar lewat mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan kerajaan, sehingga satu projek mengambil masa melebihi enam tahun daripada tarikh siap asal,” menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Selain itu, beberapa kualiti kerja yang dilaksanakan kontraktor tidak memuaskan, bagaimanapun tindakan pembaikan telah diambil selepas lawatan Audit dan pemerhatian Audit dikeluarkan.

Menurut laporan itu, sebahagian reka bentuk pembinaan yang telah diluluskan oleh Pegawai Penguasa dan dilaksanakan oleh kontraktor adalah tidak praktikal, tidak lengkap dan tidak sesuai.

“Pemilihan penghuni dan pengisian unit rumah yang dilaksanakan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan adalah tidak memuaskan bagi PPR Pekan Kinarut dan Taman Semarak.

“Kelemahan ini disebabkan pengisian unit rumah lewat dilaksanakan sehingga mengambil masa melebihi satu tahun dari tarikh penyerahan oleh Jabatan Perumahan Negara kepada KKPT Sabah/PBT iaitu mengambil masa 569 hari bagi PPR Pekan Kinarut dan 485 hari bagi PPR Taman Semarak dan sehingga kini pengisian masih belum selesai,” menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut, bagi memastikan pembinaan dan pengurusan PPR dilaksanakan dengan berkesan, Wilayah Sabah dan Sarawak (WSS) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu memantau dan menyelia kemajuan kerja kontraktor dan memastikan kerja yang dilaksanakan mereka berkualiti, kemas dan sempurna.

Jabatan Perumahan Negara (JPN) hendaklah memastikan setiap spesifikasi kerja dan reka bentuk bangunan diperhalusi dan diteliti bagi mengelakkan berlakunya spesifikasi kerja tidak lengkap, tidak sesuai atau tidak praktikal yang boleh mengakibatkan tambahan perbelanjaan kerajaan.

JPN dan KPKT perlu sentiasa meningkatkan koordinasi dengan agensi-agensi utiliti yang berkaitan bagi mengelakkan kelewatan tindakan oleh agensi terbabit yang akan menyebabkan kelewatan penyiapan projek.

KKTP Sabah dan PBT harus melaksanakan proses pemilihan dan memuktamadkan senarai penghuni lebih awal bagi membolehkan pengisian unit rumah dibuat segera selepas penyerahan PPR oleh JPN.

“KKTP Sabah dan PBT juga perlu menambah baik tempoh memuktamadkan senarai penghuni tersebut bagi mengelakkan prasangka negatif orang awam terhadap perkhidmatan yang disediakan kerajaan,” menurut laporan itu.– BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan