Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,642

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

3 Peringkat Menuju Haji Mabrur

11:52am 21/10/2016 Zakir Sayang Sabah 11 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Manusia bukanlah orang yang dapat menentukan siapa yang mendapat haji mabrur. Hanya Allah sahaja yang berhak menentukannya. Namun, bagi mereka yang akan pergi menunaikan ibadah haji, pastinya cita-cita mereka adalah pulang dengan haji mabrur.

Di sini disenaraikan 3 peringkat menuju haji mabrur. Semoga ia menjadi persediaan kepada mereka yang berniat melaksanakan ibadah haji kelak.

Peringkat Pertama: Sebelum Haji

Niat untuk menunaikan haji mestilah ikhlas kerana Allah S.W.T.

Niat seperti untuk dipandang tinggi oleh masyarakat, menambah kekayaan, mahu popular hanya akan menghilangkan redha Allah kepada kita. Bukan sahaja kita mensia-siakan masa dan tenaga, malah ibadah itu telah rosak seluruhnya lalu kita terlepas daripada semua pahalanya.

Pada peringkat ini juga adalah amat penting bagi kita untuk memastikan sumber kewangan kita. Harta yang digunakan mestilah diperolehi daripada jalan yang halal. Ini kerana hanya kebaikan menghasilkan kebaikan. Tidak mungkin harta yang haram membawa kepada haji mabrur jika sejak awal lagi puncanya sudah kotor.

Peringkat Kedua: Semasa Haji

Ibadah haji akan lengkap jika kita melaksanakan semua proses yang diwajibkan dari awal sehingga akhir. Oleh itu, hendaklah meninggalkan semua larangannya semasa di dalam ihram. Janganlah kita melakukan maksiat semasa di dalam ihram. Kita juga perlu menjaga kata-kata dan sebagainya yang boleh merosakkan ibadah haji kita.

Ini dengan jelas dilarang oleh Allah melalui surah Al-Baqarah ayat 197;

Allah berfirman:

فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلاَ رَفَثَ وَلاَ فُسُوقَ وَلاَ جِدَالَ فِي الْحَجِّ

Ertinya: ‘Barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafath, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji.

(Al-Baqarah:197).

(Syarh Riyâdus Shâlihin oleh Syaikh Ibnu Utsaimin 3/113).

Rafath pada ayat di atas bermaksud bercakap atau melakukan sesuatu yang boleh menarik syahwat antara lelaki dan perempuan seperti mencium, bercakap tentang cinta atau wanita.

Fasik pula bermaksud keluar dari ketaatan kepada Allah melalui apa jua cara. Jika seseorang jemaah haji dapat meninggalkan larangan ini maka dapatlah dia menyempurnakan ibadahnya.

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam iaitu :

”Barang siapa yang haji dan ia tidak rafath dan tidak fasik, ia akan kembali pada keadaannya saat dilahirkan ibunya.”

(HR. Muslim (1350)

Kita juga disarankan agar menambah ibadat-ibadat sunat yang lain. Banyakkanlah amalan-amalan seperti berzikir, bersedekah, berkata-kata yang baik di samping membaca Al-Quran dan solat-solat sunat yang lain.

Kesimpulannya, lakukanlah sebanyak mungkin perbuatan dan percakapan yang baik sepanjang mengerjakan ibadah haji.

Peringkat ketiga : Selepas Haji

Dikatakan bahawa jika selepas bulan Ramadhan kebaikan dan amal soleh kita meningkat, itu menunjukkan bahawa ibadah kita di bulan Ramadhan itu diterima oleh Allah S.W.T. Begitulah juga halnya kepada ibadah haji. Apabila kembali ke tanahair, berusahalah untuk kekal melakukan amal kebaikan dan menghindarkan diri daripada semua larangan Allah.

Bagi sesetengah orang, untuk mendapat haji mabrur ini tidak semudah kata-kata. Manakala bagi sesetengah yang lain pula, untuk mendapat haji mabrur ini amat mudah kerana hanya perlu melaksanakan semua perintahNya sebelum, semasa dan selepas itu.

Walau apa pun pandangan kita, bulatkan tekad untuk mencapai haji mabrur. Semoga Allah memudahkan semua urusan ibadah haji kita, menerima ibadah kita, dan menjadikan kita hamba yang mulia di sisiNya. Semoga syurga menjadi lokasi rumah kita kelak.

(Tazkirah.net, Anas)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan