Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

3 Parti Umat Islam Di Dunia Dan Di Akhirat

Gambar Hiasan

 

“Saya mahu yang terbaik, terbanyak dan tertinggi!”

Itulah fitrah manusia semasa hidup di dunia apabila menyentuh aspek fizikal atau material. Lain pula halnya jika melibatkan aspek rohani.

“Alah! Sekurangnya saya sudah selesai solat wajib, yang sunat tu kan sunat namanya. Tak buat tak berdosa pun.”

“Sekurangnya saya sudah bayar zakat. Sedekah hanya bagi yang ada kelapangan rezeki sahaja.”

“Sekurangnya saya baca juga Yasin setiap malam Jumaat dari langsung tak sentuh al-Quran. Kira bagus lagi saya berbanding kawan saya yang langsung tak mengaji al-Quran.”

Hukum alam memang adil. Siapa rajin maka dia dapat lebih dan hukum ini terpakai juga dalam aspek rohani. Allah berfirman;

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ
Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka (1) ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan (2) di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan (3) di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).Surah Fatir 35:32

Allah menyebut 3 parti dalam ayat ini. Tepuk dada tanya iman anda, parti mana mahu didokong, parti 1, 2 atau 3?

#1 – Parti Kurang Kualiti

Pengikut parti ini selalu berlaku zalim terhadap diri sendiri kerana cuai dalam arahan agama. Mengabaikan yang wajib, melanggar sesetengah yang haram (Tafsir Ibn Kathir)

Namun masih beringat tidak mensyirikkan Allah. Mereka ini sangat hampir dengan jurang neraka. Jika bernasib baik, Rasulullah SAW akan menghulurkan tangan memberi mereka syafaat.

Sebaliknya jika tidak bernasib baik mereka terpaksa dibakar terlebih dahulu jutaan tahun dalam neraka kerana karat dosa yang melekat pada mereka jenis karat atau daki yang degil.

Hanya suhu tinggi api neraka mampu melunturkan karat tersebut. Bila sudah bersih dari segala karat dosa, barulah sesuai mereka melangkah ke syurga kerana syurga hanya layak untuk manusia suci.

#2 – Parti Orang Baik

Mereka ini melaksanakan yang wajib, menjauhi yang haram, meninggal sesetengah amalan sunat dan terbabas melakukan sesetengah yang makruh (Tafsir Ibn Kathir).

Mereka ini masuk syurga dengan rahmat Allah dan dihisab dengan “audit” yang sangat mudah.

#3 – Parti Elit

Mereka ini konsisten melaksanakan yang wajib dan sunat. Juga meninggalkan sama sekali yang haram, makruh dan yang meragukan. Mereka akan masuk syurga tanpa hisab.

3 parti ini juga diulang dan disebut dalam Surah al-Waqi’ah dari ayat 8 – 56. Tambah jelas lagi, Rasulullah SAW bersabda memperincikan perihal mereka:

فَأَمَّا الَّذِينَ سَبَقُوا بِالْخَيْرَاتِ فَأُولَئِكَ الَّذِينَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ بِغَيْرِ حِسَابٍ وَأَمَّا الَّذِينَ اقْتَصَدُوا فَأُولَئِكَ يُحَاسَبُونَ حِسَابًا يَسِيرًا وَأَمَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ فَأُولَئِكَ الَّذِينَ يُحْبَسُونَ فِي طُولِ الْمَحْشَرِ

Adapun orang yang terdahulu melakukan kebaikan adalah mereka yang masuk syurga tanpa hisab. Adapun orang yang pertengahan adalah orang yang melalui hisab yang mudah. Adapun orang yang menzalimi diri sendiri adalah orang yang dihisab sepanjang berada di padang mahsyar.Musnad Ahmad

Ubahlah mentaliti ala kadar kita dalam aspek rohani. Jangan pula menyesal kemudian hari kerana berada jauh di belakang walau mampu memacu iman dan taqwa semasa di dunia dahulu.

Benar kata pepatah, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada guna lagi. Ya Allah berikan kami kekuatan agar mendapat anugerah rohani yang tertinggi, terbaik dan terbanyak.

(Sumber: Tazkirah.net oleh Abdullah Bukhari)

Komen


Berita Berkaitan