Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,642

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

3 Nasihat Cinta Buat Adik-Adik Remaja

12:00pm 21/10/2016 Zakir Sayang Sabah 73 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Bila disebut tentang cinta, maka terbayanglah kita dengan dua hati yang saling menarik melalui terbitnya perasaan yang begitu mendalam di antara keduanya. Sukar hendak dijelaskan akan perasaan itu.

Cinta,
Dalam keadaan senang, suasananya seperti syurga.
Jika sakit dan terseksa, tetap mahu bersama.

Siapa yang boleh lupa pengalaman kali pertama kita jatuh cinta. Biarlah dikata orang itu cinta monyet, tetap lebih rela hati menjadi hamba kepada rasa cinta. Dunia seakan berpesta 24 jam dan bersambung sehingga jam-jam seterusnya. Wajah mulai berseri-seri kerana bunga-bunga sedang mekar sebagai taman di dalam hati.

Selalu diharap cinta seindah kisah putera puteri dan pari-pari. Begitu indah cinta yang ditulis di dalam novel. Begitu menyeronokkan hubungan lelaki dan wanita yang dipaparkan di dalam drama dan filem. Puisi cinta di dalam lagu pula selalu membuatkan hati dibuai rindu sementara minda masuk terus ke dalam dunia penuh khayalan.

Cinta adalah anugerah dari Allah. Setiap orang pasti akan merasainya. Setiap daripada kita akan melaluinya. Cuma, bagaimana kita membawanya di dalam diri yang akan membezakan kita semua.

Kata Hamka,

“Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia. Ia laksana setitis embun yang turun dari langit; bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlain-lainan menerimanya.”

Justeru , ada beberapa pesanan yang mahu dititip buat adik-adik di luar sana .

1 – Adik-adik, cinta tidak sukar. Cinta itu indah. Justeru, letaknya juga perlu pada tempat yang indah. Jika saat ini anda sedang bercinta, jagalah cinta agar ia berada di tempat yang sebaiknya.

Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”

At-Taubah:24

Cinta yang tertinggi adalah untuk Allah dan RasulNya.

Cinta inilah yang meredhakan usahamu dalam mencari kesempurnaan makhluk kerana anda sedang bercinta dengan Yang Maha Sempurna.

Tidak akan pernah dirimu berasa sendiri melainkan kesunyianmu digantikan dengan kasih sayangNya. Tidak akan pernah rasa tidak dihargai kerana Allah tidak akan meninggalkan hati yang mencintaiNya.

Cinta yang tertinggi inilah cinta yang sebenar. Cinta ini akan menyatukan, membahagiakan, memberi rasa selamat dan menyebarkan kasih-sayang. Cinta ini bukan sahaja tentang dua hati berlainan jantina. Cinta ini lebih luas sebarannya. Cinta kepada ibu bapa, cinta kepada keluarga, cinta kepada agama, cinta kepada masyarakat, cinta kepada negara, dan cinta kepada seluruh umat. Semuanya berada di bawah satu rasa cinta agung iaitu cinta kepada Allah SWT.

2 – Ketahuilah bahawa cinta itu satu fitrah. Jika adik-adikku sekarang sedang patah hati dan kecewa disebabkan cinta, janganlah ditutup rasa cinta. Jangan dibina sumpah untuk menolak fitrah hanya kerana satu kecewa. Jangan dirosakkan fitrah kerana amarah. Pada masa ini mata dan minda ditutup oleh nafsu jika kau tidak berhati-hati. Hidup dirasakan sempit sehingga kau tidak menyedari alam dan seluruh rahmatNya yang terlalu luas.

Firman Allah ;

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Ar-Rum : 30

Usahlah diagungkan tingginya cinta manusia semata-mata yang selalu sahaja membuatkan akal hilang imbangan umpama kisah Laila dan Majnun. Kerana cinta menguasai diri, Majnun mencium dinding rumah Laila. Nampak ‘sweet’, kata orang. Dirinya dibiarkan lemah kerana cinta yang kononnya sejati dan mulia sedangkan cinta tidak harus merosakkan diri, apalagi membunuh jiwa.

Ambillah kekuatanmu semula. Tegurlah diri tentang satu perkara iaitu cinta adalah milik Allah. Maka, kembalikanlah cintaMu kepada pemilik sebenarnya. Cinta adakalanya menyakitkan tapi tidak bagi yang menyedari tujuan hidup ini yang sementara. Tiadalah sesuatu itu berlaku melainkan di atas pengetahuan dan limpah kasih-sayangNya.

Di dalam surah An-Nur ayat 19, Allah SWT berfirman yang bermaksud;

“………Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana. Allah mengetahui segala yang tersembunyi, segala rahsia, segala kebaikan dan perlindungan yang tidak pernah kita ketahui kewujudannya. Tenanglah dan teruskan bercinta.

3 – Cinta sejati menambah cinta kepada Allah. Cinta sejati tidak akan menjauhkan dirimu dari Allah. Jika semakin lama cinta membuatkan diri kita membahagi cinta antara Allah dengan makhluknya, berhati-hatilah. Jika semakin lama solatmu kehilangan nikmatnya, bacaan Al-Quranmu kian menghilang, pujianmu kepada Allah beralih kepada lagu-lagu cinta, rehatlah dan sucikan hatimu semula.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda;

“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia lebih mencintaiku daripada bapanya, anaknya, dan manusia seluruhnya.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Ingatlah bagaimana cinta telah membutakan hati isteri ‘Aziz sehingga sanggup memfitnah Yusuf. Bandingkan pula cinta isteri ‘Aziz dengan cinta Yusuf kepada Allah sehingga Yusuf sanggup tinggal di dalam penjara asalkan dirinya tidak dimurkai Allah. Bagi Yusuf, Allah adalah pilihan utamanya. Yusuf seorang muda yang melalui begitu banyak kesukaran dan cabaran dalam hidupnya. Namun, satu pun tidak mematahkan semangat dan cinta kepada Tuhannya. Akhirnya, Yusuf menjadi orang berjaya.

Orang beriman bijak dalam memilih cinta.

Hanya cinta paling hebat dan paling mulia menjadi pilihannya. Cinta yang mendekatkan dirinya dengan dosa tidak pernah di dalam hatinya. Orang beriman menolak cinta jika cinta menyebabkan dia bersatu dengan musuh tuhannya.

Dengan cinta, orang beriman membentuk sebuah negara dengan kepimpinan yang tiada tolok-bandingnya. Lalu cinta menyebabkan terciptanya pelbagai sumbangan, sebuah tamadun terhebat dalam sejarah.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Anas)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan