Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

3 Lagi PI1M Bakal Diwujudkan Di Beaufort

BEAUFORT – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini secara prinsip meluluskan pewujudan tiga lagi Pusat Internet 1Malaysia di Beaufort.

Dengan pengumuman itu, Parlimen Beaufort bakal mempunyai enam kemudahan prasarana Pusat Internet 1Malaysia termasuk tiga sedia ada masing-masing di Kota Klias, Kampung Padas dan Limbawang.

Salleh berkata inisiatif memperluas kemudahan Pusat Internet 1Malaysia di Beaufort adalah bukti komitmen kerajaan memperkasa pembangunan ekonomi digital di luar bandar.

“Memang sudah ada (Pusat Internet 1Malaysia) wujud di sini tetapi tidak mencukupi. Saya juga dimaklumkan oleh (Anggota Parlimen Beaufort) Datuk Azizah (Mohd Dun) di Kuala Penyu juga memerlukan tiga pusat internet sedemikian.

“Pusat internet ini ada keperluannya (kepada rakyat terutama komuniti perniagaan) sekali gus menarik penglibatan mereka dalam perniagaan secara online yang menjadi keutamaan kerajaan kerana sekarang kita ingin mewujudkan ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Memperkasa Wanita 2018 peringkat Parlimen Beaufort, di sini yang turut dihadiri Azizah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mengulas lanjut, Salleh berkata kerajaan terus komited mempertingkat prasarana internet di luar bandar bagi memastikan rakyat di kawasan itu dapat memanfaatkannya sebagai usaha melonjakkan lagi potensi diri dalam bidang perniagaan menerusi e-Usahawan dan e-Rezeki.

Berhubung karnival yang berlangsung dua hari mulai hari ini itu, katanya ia adalah platform kepada wanita Beaufort melihat peluang-peluang ekonomi disediakan kerajaan untuk mereka.

“Saya amat gembira melihat ramai wanita hadir ke karnival ini dan sekali gus menunjukkan komitmen mereka untuk terlibat secara aktif dalam proses pembangunan ekonomi negara kerana pada hakikatnya kerajaan mengiktiraf peranan wanita dalam proses pembangunan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Azizah berkata berkata penganjuran karnival berkenaan adalah antara mekanisme membawa Tahun Memperkasa Wanita 2018 ke peringkat akar umbi khususnya di luar bandar.

Berhubung kelulusan secara prinsip tiga lagi Pusat Internet 1Malaysia di Beaufort, beliau mengucapkan terima kasih kepada Salleh atas pengumuman itu kerana ia pasti bakal memberi manfaat kepada ribuan penduduk meluaskan lagi potensi perniagaan secara dalam talian.

“Banyak pengusaha kecil-kecilan di sini menggunakan Pusat Internet 1Malaysia sedia ada bagi mempromosi produk mereka. Tetapi (pusat Internet) sedia ada tidak mencukupi kerana terhad di satu-satu kawasan. Justeru, kita mahu lebih ramai mendapat peluang (menggunakan) pusat Internet itu,” katanya. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan