Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

281 Murid Tiada Taraf Kewarganegaraan Ikuti Pembelajaran Kelas 3M Di Pulau Berhala

6:24pm 06/01/2016 Pak Roshan 466 views Mutakhir,Sandakan,Tempatan

3m

SANDAKAN : Kelas Membaca, Menulis dan Mengira (3M) Markas Angkatan Bersama di Pulau Berhala yang menerima Anugerah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia pada tahun lepas, menerima kemasukan 281 murid pada sesi persekolahan tahun ini.

Kelas 3M ini istimewa disebabkan muridnya adalah kalangan mereka yang tiada taraf kewarganegaraan dan tinggal di pulau itu yang mempunyai bilangan penduduk seramai 2,400 orang.

Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja, Lt Kol Shamsuri Nordin berkata Kelas 3M ini beroperasi sejak tahun 2000 iaitu ketika Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menempatkan pasukan beroperasi di pulau itu.

Katanya kelas 3M ini adalah untuk murid yang tidak dapat belajar di sekolah formal disebabkan tiada dokumen pengenalan diri.

“Daripada mereka berkeliaran di pulau ini, ATM telah membuka Kelas 3M ini untuk mereka belajar, sekurang-kurangnya untuk kelangsungan hidup mereka pada masa akan datang, untuk boleh membaca, menulis dan mengira,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi persekolahan Kelas 3M 2016 di pulau itu, Rabu.

Menurutnya pembukaan kelas 3M ini merupakan program jiwa murni ATM sebagai tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat di Pulau Berhala.

Katanya asas Kelas 3M dan juga ada modul tambahan iaitu keagamaan dan kerohanian, modul patriotisme untuk meningkatkan dan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan anak-anak di Pulau Berhala ini.

Beliau berkata untuk sesi kali ini terdapat tiga tahap iaitu satu bagi tahap lemah, dua bagi sederhana dan tiga pula bagi tahap yang baik.

Shamsuri berkata murid yang mengikuti kelas 3M ini berusia empat hingga 16 tahun dan waktu persekolahan adalah sama dengan sekolah formal.

Katanya terdapat tiga tenaga pengajar di kelas itu iaitu seorang Jurulatih Pendidikan dari Kor Agama ATM dan dua lagi dari Jabatan Pendidikan iaitu seorang guru dan pembantu guru.

“Uniknya sekolah ini ia diselenggara sepenuhnya oleh ATM, manakala sistem pengajaran menggunakan modul Linus Kementerian Pendidikan,” katanya.

Menurutnya selain Kelas 3M, program jiwa murni yang lain turut dijalankan seperti aktiviti gotong-royong dan bersukan bersama penduduk di Pulau Berhala dan di pulau lain yang berpenghuni.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan