Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

27,607 pekebun kecil di Sabah giat usahakan tanaman getah

getah sabah

TENOM: Setakat bulan Ogos tahun ini, terdapat seramai 27,607 pekebun kecil getah di Sabah dengan jumlah keluasan tanah getah sebanyak 77,737.69 hektar. Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Radin Malleh berkata, daripada jumlah itu, daerah ini termasuk Kemabong mendahului daerah lain di negeri ini dari segi jumlah keluasan tanah getah iaitu 9,793 hektar tanah dan terdapat 2,149 pekebun kecil getah dalam tempoh berkenaan. “Daripada Januari 2012 sehingga Ogos 2014, kerajaan negeri melalui Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) telah memperuntukkan sebanyak RM8.14 juta untuk melaksanakan Projek Tanam Baru Getah Berkelompok seluas 581.9 hektar tanah getah yang membabitkan 192 orang pekebun kecil getah di daerah ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan kursus menoreh getah yang telah dianjurkan selama 10 hari oleh LIGS serta penyampaian sijil tamat kursus menoreh getah kepada 64 pekebun kecil getah dari Kampung Mas Langsat, Nalansitan dan Mosolog dalam Mukim Melalap di balai raya Kampung Mas Langat, Tenom, di sini semalam. Turut hadir di majlis itu ialah Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layappan; Pemimpin Pembangunan Masyarakat Melalap, Simon Mamat; Timbalan Pengurus Besar (Pentadbiran) LIGS, Tarawih Rokot; Pegawai Penguasa LIGS Tenom, Atin Maspat serta para pemimpin masyarakat dan penduduk kampung-kampung terbabit. Radin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap menambah, dalam tempoh itu juga, kerajaan negeri memperuntukkan RM15.587 juta untuk melaksanakan Projek Tanam Semula Getah Berkelompok seluas 1,113.39 hektar tanah getah yang membabitkan 210 pekebun kecil getah dari sekitar daerah itu. Beliau berkata, pada 2015, kerajaan negeri melalui LIGS memperuntukkan RM2.8 juta untuk melaksanakan Projek Tanam Baru Getah Berkelompok  seluas 200 hektar tanah getah yang akan membabitkan 70 pekebun kecil getah dari sekitar Teno, serta RM4.2 juta bagi pelaksanaan Projek Tanam Semula Getah Berkelompok seluas 300 hektar di S.P.G Lagud Sebrang Tenom dan S.P.G Kuala Tomani Kemabong. “Untuk tempoh lima tahun, kos pembangunan untuk satu hektar tanah getah itu oleh kerajaan ialah RM14,000 yang meliputi kerja-kerja pembersihan tanah dan membuat teres, penanaman, pembajaan serta penjagaan pokok-pokok getah tersebut. “Apabila pokok-pokok getah itu matang, kerajaan akan menyerahkan semula tanah getah itu kepada para pekebun kecil getah berkenaan untuk diusahakan oleh mereka,” ujarnya. Radin menegaskan, semua usaha berkenaan membuktikan  komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri untuk menggalakkan rakyat luar bandar membangunkan tanah-tanah mereka seperti penanaman getah secara berkelompok yang dapat menjana pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. “Pada ketika ini, purata pendapatan bersih sebulan para pekebun kecil getah di daerah Tenom termasuklah Kemabong ialah di antara RM900 sehingga RM1,200. “Purata pendapatan bersih sebulan itu membuktikan usaha-usaha kerajaan untuk mengurangkan gejala kemiskinan di kalangan penduduk luar bandar di negeri ini berada di landasan yang betul,” katanya lagi. Radin yakin, kursus sedemikian dapat meningkatkan lagi kecekapan dan kemahiran menoreh pokok getah di kalangan para pekebun kecil getah berkenaan. Beliau juga menggesa pekebun-pekebun kecil getah supaya sentiasa menjaga kualiti susu getah tersebut agar getah kepingan yang telah diproses oleh mereka itu mempunyai gred getah yang baik serta mendapat harga yang baik di pasaran. “Walaupun harga getah pada ketika ini adalah rendah, kerajaan menggalakkan rakyat khususnya di luar bandar yang memiliki tanah-tanah terbiar untuk menanam pokok getah bagi memenuhi permintaan pasaran. “Saya pasti harga getah di pasaran akan naik semula nanti. Bagi mereka yang mempunyai tanah getah, mereka akan beroleh pendapatan lumayan apabila harga getah naik nanti. “Manakala bagi mereka yang baru mula menanam pokok getah setelah melihat para pekebun kecil getah memperolehi pendapatan lumayan berikutan kenaikan harga getah itu, sudah tentu mereka akan ketinggalan peluang untuk turut sama menikmati kenaikan harga getah itu,” jelas beliau. Menurutnya, kerajaan menggalakkan para pekebun kecil getah di negeri ini khususnya di daerah Tenom untuk menjual hasil keluaran getah mereka itu kepada LIGS bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa manipulasi harga oleh orang tengah dan agen-agen pembeli getah berkenaan.

 

Komen


Berita Berkaitan