Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

2,670 ekor ayam dilupuskan di Kauluan, Tiada kes baru dilaporkan

Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah memakai sut khas yang dinamakan Personal Protective Equipment (PPE) ketika menjalankan kerja-kerja penakaian dan pelupusan ayam serta mengambil sampel ayam yang dijangkiti virus selesema burung di dua ladang ternakan di Kampung Kaulauan, Tuaran. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin.

TUARAN: Sebanyak 2,670 ekor ayam telah dilupuskan di ladang ternakan Kauluan setakat jam 5 petang hari ini.

Tiada kes Avian Influenza baru dikesan dan operasi mengawal wabak hari ini berjalan dengan lancar, kata Pengarah Operasi Pengurusan Wabak Tuaran, Dr Suhaili Luisin.

Menurut beliau pada mulanya terdapat penduduk kampung berhampiran yang merasa tidak puas hati apabila ternakan ayam mereka dirampas untuk dilupuskan.

“Kita faham orang tinggal di kampung mereka pelihara beberapa ekor ayam untuk kegunaan sendiri tiba-tiba perlu dibasmikan tentu akan ada rasa tidak puas hati.

“Tapi Alhamdulilah, bila kita jelaskan mereka sudah tahu risiko virus ini kepada manusia yang sangat berbahaya maka mereka tiada halangan lagi, malah ada yang secara sukarela membasmi ayam-ayam mereka,” katanya.

Sampel ayam yang ditemui sekitar radius 5 Kilometer dari lokasi dua ladang ternakan ayam di Kampung Kaulauan diambil dan akan diuji di makmal Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin.

Kelmarin katanya sebanyak hanya 920 ekor dapat dilupuskan memandangkan operasi bermula hanya sebelah petang.

Menurut Dr Suhaili satu bilikan gerakan pengurusan wabak Selsema Burung telah mula beroperasi di Pekan Tuaran.

Proses pemusnahan unggas di Kampung Kauluan dijangka selesai dalam tempoh 10 hari.

Ladang ternakan ayam di Kauluan membekal ayam sekitar daerah ini dan juga yang berdekatan namun pembekalan telah dihentikan sebaik pengumuman wabak dibuat, katanya.

Dr Suhaili berkata mereka mendapat kerjasama yang baik daripada penternak yang bersetuju pelupusan ayam dijalankan di ladang mereka.

Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Kesihatan Sabah, Dr Peter Lee Ah Kong (dua dari kanan) bersama Pengarah Operasi Pengurusan Wabak Daerah Tuaran, Dr Suhaili Lusin (kanan) di Bilik Operasi Wabak Penyakit di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Tuaran. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin.

Katanya kerja pelupusan ini dibahagikan kepada beberapa pasukan tiap satu dengan tugas masing-masing seperti penghapusan, mengurus bangkai untuk dikubur dan satu lagi terlibat dengan pembasmian kuman.

Bagi proses pembasmian kuman ini akan melibatkan semua peralatan, kenderaan dan persekitaran di Kauluan.

Operasi akan disambung semula pada 9 pagi esok manakala staf veterinar dari beberapa daerah juga akan datang untuk memberi bantuan dalam operasi ini.

Bilik Operasi Wabak Penyakit yang dibuka bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini kes selesema burung di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Tuaran. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin.

Dua pos kawalan akan beroperasi 24-jam untuk memastikan tiada unggas dibawa keluar daripada lingkungan kawasan di mana kes Avian Influenza itu di kesan. -SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan