Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

25,508 PATI Dihantar Pulang Sepanjang Januari Hingga November – MKN

pati-sayangsabah

SANDAKAN : Seramai 25,508 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memasuki negeri ini secara haram telah dihantar pulang ke negara masing-masing, dari Januari hingga November tahun ini.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah Mohd Rodzi Md Saad berkata daripada jumlah itu, seramai 20,015 adalah warga Filipina, 5,286 Indonesia dan 207 dari lain-lain negara.

Menurutnya hampir RM14.5 juta telah digunakan bagi pengurusan proses penghantaran pulang kesemua PATI terbabit.

Mohd Rodzi berkata penghantaran pulang PATI pada tahun ini mencatat jumlah tinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 18,288 orang pada 2014; 13,222 (2013) dan 12,551 (2012).

“Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan membendung masalah kebanjiran PATI dan usaha ini akan diteruskan demi memastikan Sabah bebas daripada masalah PATI dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga di sini hari ini.

Mohd Rodzi turut memaklumkan tangkapan terkini PATI di Sandakan menerusi operasi bersepadu selama dua hari telah berjaya menahan seramai 284 orang terdiri daripada 244 warga Filipina dan 40 Indonesia berumur dalam lingkungan satu hingga 50 tahun.

Menurut beliau operasi disertai pelbagai agensi khususnya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Ketua Menteri itu memeriksa seramai 614 orang disyaki PATI di sekitar daerah ini.

Dalam pada itu, Mohd Rodzi berkata jumlah terkini PATI yang ditempatkan di PTS di seluruh Sabah ialah 5,894 orang dengan jumlah tertinggi di PTS Papar (2,109); PTS Kota Kinabalu (1,805); PTS Tawau (1,146) dan PTS Sandakan (834).

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan