Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,758

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

2,507 Anggota JPAM Sabah Siap Sedia Hadapi Kesan Taufan Melor

10:43pm 17/12/2015 Pak Roshan 67 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

jpam

KOTA KINABALU : Sebanyak 2,507 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kesan daripada Taufan Melor yang melanda Filipina, sejak Isnin lepas.

Pengarahnya Kolonel Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata langkah itu diambil walaupun pada peringkat awal, pihaknya lebih tertumpu kepada persiapan menghadapi banjir dijangka melanda Sabah, yang kini mengalami Monsun Timur Laut.

“Kita sebenarnya lebih khuatir kepada keselamatan orang awam atau masyarakat sekiranya banjir menimpa serentak daerah-daerah di Sabah kerana musim Monsun Timur Laut juga serentak dengan Taufan Melor,” katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Mulliadi berkata beberapa agensi lain antaranya Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga berada dalam keadaan bersiap sedia menghadapi bencana-bencana itu.

Ribut Taufan Melor dikenali juga Taufan Nona, yang melanda Filipina pada Isnin lepas, diramalkan turut membawa angin kencang dan hujan lebat ke Sabah khususnya di kawasan Pantai Barat, Kudat, Pedalaman dan Labuan.

Sementara itu, laman web Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan kenyataan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua.

Menurut kenyataan itu, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di kawasan perairan Sabah iaitu Kudat, Pantai Barat dan Pedalaman serta Wilayah Persekutuan Labuan, dijangka berterusan sehingga Ahad ini.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan