Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

25 jerat dikeluarkan dari 2 hutan simpan

OPS Jerat membabitkan anggota WWF-Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah di Rizab Hutan Sungai Taliwas dan Hutan Simpan Sapagaya di Lahad Datu. – Foto Ihsan Wwf-Malaysia

 

KOTA KINABALU: Sebanyak 25 jerat di kawasan rizab hutan di Lahad Datu dikeluarkan menerusi Ops Jerat susulan beberapa siri kematian gajah disebabkan perangkap haiwan berkenaan.

Semua jerat itu ditemui dalam operasi khas dijalankan sepasukan anggota terdiri daripada wakil WWF-Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Operasi itu menemui jerat di kawasan Rizab Hutan Sungai Taliwas dan Hutan Simpan Sapagaya yang bersempadan dengan beberapa ladang di daerah Lahad Datu.

Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia) dalam kenyataan hari ini, berkata sebanyak 16 platform memburu turut ditemui di kedua-dua rizab hutan itu termasuk lima perangkap dengan kedalaman kira-kira dua meter di kawasan berhampiran ladang.

“Dalam tempoh dua bulan yang lalu, empat gajah mati akibat kecederaan disebabkan jerat. Semua gajah jantan berusia antara satu hingga sembilan tahun itu ditemui di ladang sekitar Hutan Simpan Sungai Taliwas dan Hutan Simpan Sapagaya.

“Jerat biasanya dipasang pemburu di sepanjang laluan haiwan di rizab hutan berhampiran kawasan perladangan untuk menangkap babi hutan dan rusa. Walaupun gajah bukan sasaran, namun ia biasanya menjadi mangsa kepada alat berkenaan,” katanya.

Menurutnya, gajah menggunakan laluan sama dengan hidupan liar lain sering terkena perangkap yang dipasang dan sekiranya tidak dirawat awal, luka boleh merebak sehingga menyebabkan kematian akibat jangkitan yang teruk.

ANTARA jerat yang ditemui oleh anggota WWF-Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah dalam Ops Jerat di Rizab Hutan Sungai Taliwas dan Hutan Simpan Sapagaya di Lahad Datu. – Foto Ihsan Wwf-Malaysia

 

“Dalam kejadian minggu lalu, kami menemui bangkai gajah dengan kesan luka yang teruk. Sepanjang tahun ini, sekurang-kurangnya 25 gajah ditemui mati.

Sementara itu, badan bukan kerajaan (NGO) itu berkata, pihaknya sudah beberapa kali meminta pihak berkuasa meminda Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dengan memasukkan peruntukan liabiliti ketat kepada pemilik tanah persendirian.

“WWF-Malaysia sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk mengatasi masalah ini selain rundingan dengan pihak berkepentingan dan syarikat perladangan untuk mendapatkan maklum balas serta cadangan mereka,” katanya.

Menurutnya, pihak syarikat perladangan juga perlu bekerjasama memainkan peranan aktif bersama kerajaan dan NGO dalam usaha pemuliharaan gajah di negeri ini. – Oleh Avila Geraldine/BH Online

Komen


Berita Berkaitan