Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

25 Ekor Gajah Berkeliaran Diusir Ke Hutan Simpan

LAHAD DATU – Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu dalam usaha mengusir semula 25 ekor gajah ke habitat asal di kawasan Rizab Hidupan Liar Tabin selepas haiwan itu berkeliaran di sekitar kampung Teburi serta Kampung Sri Darun dekat sini.

Pegawainya, Silvester Saimin berkata tindakan mengusir itu dilakukan sejak 21 Mei lepas selepas menerima aduan daripada penduduk kampung berhubung perkara tersebut.

“Seramai 16 anggota hidupan liar terlibat dalam operasi mengusir gajah-gajah ini yang dilaksanakan pada waktu siang dan berkawal pada waktu malam.

“Cara mengusir gajah ini dilakukan secara manual dengan membuat sebarang bentuk bunyi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Silvester berkata, tinjauan pihaknya di kedua-dua kampung tersebut mendapati gajah liar berkenaan telah merosakkan tanaman penduduk kampung, namun tidak mengganggu penduduk.

Dalam pada itu, katanya kemunculan 25 ekor gajah tersebut disyaki berpunca daripada kerja-kerja penumbangan pokok sawit yang tua untuk ditanam semula.

Menurut Silvester, habitat gajah-gajah itu adalah di Hutan Simpan Perlindungan Hidupan Liar Tabin yang bersempadanan dengan kampung berdekatan.

“Kemunculan gajah ke kawasan kampung-kampung ini disebabkan pada mulanya gajah itu masuk ke Ladang Bagahak 1 yang sedang menumbangkan pokok kelapa sawit yang tua untuk ditanam semula, dan ekoran itu gajah-gajah ini turut ke kawasan penempatan kampung berdekatan,” katanya lagi. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan