Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

248 Guru Baharu Anak Tempatan Ditempatkan Di Sabah

8:01pm 13/06/2016 Pak Roshan 982 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
gambar hiasan

gambar hiasan

KOTA KINABALU : Seramai 248 guru baharu anak tempatan Sabah, hari ini menerima surat pelantikan untuk ditempatkan di sekolah rendah di seluruh negeri ini.

Pengarah Pendidikan Sabah, Maimunah Suhaibul berkata 210 guru baharu itu adalah guru Bahasa Inggeris, manakala 38 lagi ialah guru Pendidikan Islam yang menjalani temuduga pada November 2015.

“Guru baharu berkenaan adalah antara 576 pelajar berasal dari Sabah, lepasan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) pada tahun lepas dan selebihnya 328 lagi akan mendapat penempatan pada Ogos ini,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian surat pelantikan itu, di sini hari ini.

Beliau berkata penempatan kesemua guru baharu berasal dari Sabah, di negeri sendiri adalah selaras dengan saranan atau pengumuman kerajaan yang menetapkan 90 peratus guru di Sabah dan Sarawak, diisi oleh anak tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu tahun lepas, berkata kerajaan menetapkan sasaran 90 peratus guru terdiri daripada mereka berasal dari Sabah dan Sarawak dalam tempoh tiga tahun akan datang, melalui penurunan kuasa pentadbiran peringkat pertama bagi kedua-dua negeri berkenaan.

Maimunah berkata setakat ini, peratusan guru tempatan di sekolah kebangsaan di Sabah adalah 81 peratus, manakala sekolah menengah kebangsaan sebanyak 74 peratus.

Mengulas lanjut, Maimunah berkata pihaknya berharap kesemua guru baharu itu dapat menerima penempatan sekolah masing-masing dengan perasaan syukur, selain bersedia menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.

“Walaupun mendapat penempatan (sekolah) jauh di kawasan pedalaman, kita perlu bersyukur dan sedia menerima cabaran yang bakal dihadapi dengan penuh komitmen,” katanya.

Jessica Rine Alphonsus, guru Bahasa Inggeris, yang mendapat penempatan di Sekolah Kebangsaan Pekan Pensiangan, Nabawan, berkata beliau sangat gembira dan teruja ditempatkan di sekolah itu, walaupun ia terletak jauh di pedalaman Sabah, kira-kira 20 kilometer dari sempadan daratan Kalimantan, Indonesia.

“Sebenarnya saya memang memohon ditempatkan di sekolah berkenaan. Perasaan minat dan suka untuk mengajar di kawasan pedalaman timbul sejak saya belajar di IPGM di Pulau Pinang…saya pernah berpeluang mengajar di kawasan pedalaman di Sekolah Kebangsaan Lubok Antu, Sarawak.

“Saya melihat jurang sekolah di luar bandar dan bandar sangat berbeza. Oleh itu, saya berharap dapat merapatkan lagi jurang perbezaan itu, terutamanya dalam pengajaran Bahasa Inggeris,” katanya yang berasal dari Penampang, Sabah.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan