Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,687

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

24 Sebab Doa Menjadi Senjata Orang Beriman

9:20am 06/10/2016 Zakir Sayang Sabah 38 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

1. Amalan Paling Mulia Di Sisi Allah

Sebagai hamba yang dicipta oleh Allah, tujuan hidup kita hanyalah untuk menyembah Allah S.W.T. Kita sujud, kita meminta seperti memintanya seorang miskin kepada Allah Yang Maha Kuasa.

2. Amalan Terbaik Dalam Ibadah

Doa menjadi penghubung secara terus antara kita dengan Allah. Ia lambang hubungan kita dengan Yang Maha Esa.

3. Perkara Asas Dalam Ibadah

Doa adalah satu bentuk ibadah yang menjadi perkara asas di dalamnya.

4. Tanda Iman Seseorang

Orang yang berdoa membuktikan keimananNya kepada Allah Yang Maha Esa. Mereka percaya bahawa hanya Allah satu-satunya yang berhak disembah. Segala persoalan dan permintaan diajukan hanya kepada Allah. Mereka memohon kepada Allah sebagai hamba yang amat memerlukan pertolongan.

5. Tanda Patuh Kepada Allah

Orang yang berdoa sebenarnya telah membuktikan dirinya patuh kepada suruhan Allah SWT sebagaimana firman Allah yang bermaksud;

“Berdoalah kepadaKu, nescaya akan aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembahKu akan masuk ke neraka jahanam dalam keadaan hina-dina.”

(Al-Gafir: 60)

6. Allah Dekat Dengan Mereka Yang Berdoa

Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)Ku da beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran.”

(Al-Baqarah: 186)

Berdoalah . Kerana ia adalah cara paling baik untuk kita merasa Allah amat dekat dengan kita.

7. Punca Mendapat Perhatian Allah

Allah tidak memerlukan kita. Sebaliknya, kitalah yang amat memerlukan Allah demi kemaslahatan hidup dunia dan akhirat. Maka, hanya mereka yang berdoa kepada Allah yang akan mendapat perhatianNya.

8. Menunjukkan Allah itu Maha Pemurah Sifatnya

Allah memberi apa yang kita minta pada bila-bila masa. Ini menunjukkan ‘kemurahan hati’ Allah Yang Maha Kaya.

Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Apa yang ada di langit dan di bumi selalu meminta kepadaNya, setiap waktu Dia dalam kesibukan.”

(Ar-Rahman: 29)

9. Tanda Kerendahan Hati

Kita ini hanyalah ciptaan Allah SWT. Kita tidak akan wujud tanpa Allah. Segala apa yang kita miliki adalah milik Allah. Oleh itu, dengan berdoa, kita menunjukkan kerendahan hati kepada Sang Pencipta. Kita mengakui bahawa kita adalah hambaNya.

10. Menangkis Kemurkaan Allah

Orang yang tidak berdoa adalah orang yang sombong. Mereka merasakan diri mereka sudah cukup untuk berdiri sendiri sedangkan berdoa itu adalah perkara mulia dalam ibadah.

11. Punca Diselamatkan Dari Api Neraka

Apabila kita tidak berdoa atau tidak meminta apa-apa kepada Allah, ini bermakna kita telah meninggalkan ibadah kita juga. Orang yang tidak peduli untuk meminta ampun kepada Allah sudah tentu menempah neraka jahanam untuk dirinya.

12. Tanda Kemalasan

Berdoa adalah perkara yang paling mudah selain tidak menggunakan banyak tenaga. Maka, meninggalkan doa menunjukkan sifat malasnya seseorang .

13. Tanda Kebijaksanaan

Seorang hamba yang berdoa tahu bahawa semua yang berlaku adalah dengan izin Allah. Maka untuk mencapai sesuatu impian, dia berdoa kepada Allah bagi mendapatkannya. Ini menunjukkan kebijaksanaanNya memandangkan dia tahu keperluan utamaNya adalah Allah.

14. Disukai Allah

Oleh kerana berdoa dikira sebagai satu bentuk ibadah, sudah pasti Allah amat menyukai mereka yang berdoa.

15. Salah Satu Ciri Orang Yang Beriman

Orang yang beriman amat suka berdoa kepada Allah. Mereka meminta dengan penuh harap, takut dan rendah diri.

16. Diberikan Ganjaran Bagi Mereka Yang Berdoa

Allah akan memakbulkan doa hamba-hambaNya. Adakalanya ia mendapat apa yang dimahukan atau terhindar dari kejahatan atau mungkin mendapat sesuatu yang setaraf dengan apa yang dimintanya. Apa yang penting ia menepati syarat berdoa iaitu doa itu mestilah bukan bertujuan untuk kejahatan.

17. Punca Kejayaan

Perlu ada kesabaran dan kecekalan dalam berdoa. Inilah ciri-ciri orang yang berjaya.

18. Tanda Persaudaraan Kerana Allah

Doa yang dijamin diterima Allah adalah doa dari seorang manusia kepada manusia yang lain dalam senyap. Ini kerana di situ adanya kasih sayang dan rasa ambil berat kepada satu sama lain.

19. Senjata Bagi Mereka Yang Lemah Dan Teraniaya

Kisah Nabi Nuh dengan kaumnya dan Nabi Musa dengan Firaun adalah antara contoh doa orang yang teraniaya. Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang telah memberikan senjata penting buat hambaNya yang dianiaya dan dizalimi iaitu doa.

20. Ubat Segala Penyakit

Manusia ditimpa dua jenis penyakit iaitu dari segi fizikal dan juga rohani. Seseorang hamba yang sakit akan kembali kepada Allah dan berdoa meminta disembuhkan penyakitnya. Mereka akan meminta bimbingan Allah dan memohon ditinggikan imannya.

Mereka meletakkan sepenuh pengharapan kepada Allah agar penyakit fizikal atau rohani mereka disembuhkan kerana hanya Allah Yang Maha Berkuasa di atas segala-galanya.

21. Menjadikan Seseorang Lebih Optimis

Orang yang berdoa akan merasakan adanya jalan keluar bagi permasalahannya.

Mereka menjadi optimis serta penuh keyakinan kepada Allah kerana mereka tahu harapan sentiasa ada buat mereka.

22. Membuka Dialog Dengan Sang Pencipta

Orang yang berdoa akan memuji dan menyebut nama-nama Allah dalam doanya. Mereka akan mengadu sepenuh hati tentang apa yang mereka harapkan dari Allah. Doa disebut dengan bersungguh-sungguh sehingga terbit rasa cinta kepada Allah SWT.

23. Ibadat Yang Paling Mudah

Berdoa adalah ibadah yang paling mudah. Tenaga yang diperlukan tidak banyak namun banyak kelebihan diperolehi hambaNya yang berdoa.

24. Satu-Satunya Amalan Yang dapat Mengubah Takdir

Sebagai manusia, kita tidak akan terlepas dari takdirNya. Namun, kuasa doa boleh sahaja mengubah takdir yang telah tertulis dengan izinNya.

Begitulah kehebatan berdoa kepada diri seorang hamba. Setiap hari kita memerlukan sesuatu dari Allah sama ada untuk meneruskan hidup atau mencapai impian dunia dan akhirat kita.

Usaha yang diiringi dengan doa akan menjadikan kita lebih tenang dan yakin dalam mengharungi kehidupan.

Semoga kita sentiasa mencari ruang untuk berbicara dengan Allah selepas ini.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Anas)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan