Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

24 jam 100 mati

BANGKAI kenderaan yang musnah akibat dibedil roket militan Houthi di Aden, Yaman, semalam.
BANGKAI kenderaan yang musnah akibat dibedil roket militan Houthi di Aden, Yaman, semalam.

Aden: Pertempuran sengit yang berlaku sejak 24 jam lalu antara beberapa kumpulan pemberontak dan pejuang prokerajaan di selatan Yaman menyebabkan hampir 100 orang terbunuh.

Pekerja bantuan kemanusiaan memberi amaran keadaan negara itu yang menjadi sasaran serangan tentera pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi semakin buruk.

Antara yang mati itu ialah 17 orang awam.

Saksi berkata, pertempuran berterusan semalam ketika pemberontak cuba menawan sebuah pelabuhan di Aden.

Di bandar Daleh yang terletak kira-kira 120 kilometer dari Aden, seramai 19 militan Houthi dan 15 pejuang yang setia kepada Abed Rabbo terbunuh dalam pertempuran kelmarin.

Seramai tujuh lagi terbunuh dalam pertempuran di wilayah Abyan apabila pejuang prokerajaan mengepung sebuah pangkalan tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh dan menyokong militan Houthi.

Abed Rabbo yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pemimpin sah Yaman berlindung di Aden pada Februari lalu selepas militan Houthi menawan Sanaa, ibu kota negara itu.

Beliau kemudiannya melarikan diri ke Arab Saudi pada bulan lalu selepas militan Houthi mara ke Aden.

Situasi itu menyebabkan Arab Saudi dan beberapa negara sekutu melancarkan serangan udara terhadap kedudukan militan Houthi yang masuk hari ke-12 semalam.

Pertempuran di Yaman membabitkan beberapa pihak termasuk militan Houthi, pejuang prokerajaan, unit tentera yang setia pada Ali Abdullah, pemberontak di selatan, pejuang Sunni dan anggota al-Qaeda.

Palang Merah merayu satu gencatan senjata dikuatkuasakan segera bagi memudahkan penghantaran bantuan dan membolehkan penduduk mendapatkan bekalan air, makanan serta bantuan perubatan.

Agensi itu cuba membawa bekalan kecemasan melalui laluan udara tetapi menghadapi masalah untuk mendarat di Yaman.

“Sebuah pesawat kargo yang penuh dengan bantuan perubatan bersedia untuk berlepas ke Yaman.

“Kami mempunyai kebenaran untuk berlepas tetapi menghadapi masalah logistik untuk mendarat.

“Pesawat yang mendarat di Yaman semakin sedikit dan kami kini berusaha menyelesaikan masalah itu,” kata jurucakap Palang Merah, Sitara Jabeen.

Palang merah juga cuba menghantar satu pasukan pakar bedah ke Aden tetapi masih menunggu kebenaran semua pihak yang terbabit dalam pertempuran.

Agensi itu menggesa semua laluan darat, udara dan laut dibuka bagi membolehkan penghantaran 48 tan bekalan perubatan untuk merawat 2,000 hingga 3,000 penduduk yang cedera dalam konflik berkenaan.-AFP

PENDUDUK berusaha mencari mangsa yang terselamat dalam runtuhan rumah yang musnah akibat serangan pakatan negara Arab yang diketuai Arab Saudi berhampiran Sanaa, semalam.
PENDUDUK berusaha mencari mangsa yang terselamat dalam runtuhan rumah yang musnah akibat serangan pakatan negara Arab yang diketuai Arab Saudi berhampiran Sanaa, semalam.

Komen


Berita Berkaitan