Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

22 Ogos pengurusan kes hak jagaan

jagaananak

PUTRAJAYA – Mahkamah rayuan menetapkan 22 Ogos bagi pengurusan kes berhubung rayuan dikemukakan bapa saudara baru Islam terhadap perintah mahkamah tinggi memberikan hak penjagaan dua anaknya kepada bekas isterinya beragama Hindu.

Timbalan Pendaftar Emelia Kaswati Mohamad Khalid menetapkan tarikh sama bagi pengurusan kes berhubung rayuan N. Viran atau nama Islamnya Izwan Abdullah terhadap perintah mengembalikan anak diperoleh bekas isterinya S Deepa daripada Mahkamah Tinggi di Seremban yang mengarahkan polis mendapatkan anak lelakinya Mithran, 6, daripada Izwan.

Izwan didakwa melarikan Mithran dua hari selepas mahkamah tinggi membuat keputusan yang memberikannya hak penjagaan Mithran dan anak perempuannya Sharmila, 9.

Rayuan Izwan terhadap perintah hak penjagaan itu dikemukakan bagi pengurusan kes di hadapan Emelia, semalam di dalam kamar.

Izwan diwakili peguam Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa manakala Deepa diwakili peguam Joanne Leong.

Pada 7 April tahun ini, mahkamah tinggi membenarkan permohonan Deepa bagi hak penjagaan anaknya dan juga memberikan hak lawatan mingguan kepada Izwan.

Mahkamah sama benarkan permohonan Deepa untuk membubarkan perkahwinan sivilnya berikutan suaminya memeluk Islam.

Izwan yang memeluk Islam pada 2011, turut menukar agama anaknya tanpa pengetahuan isterinya dan kemudiannya memperoleh perintah daripada Mahkamah Syariah Seremban bagi hak penjagaan anaknya.

Pada 27 Mei tahun ini, Izwan gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan perintah daripada mahkamah rayuan untuk menangguhkan keputusan mahkamah tinggi.

Sementara itu, Joanne berkata mahkamah rayuan menetapkan 24 Julai untuk mendengar permohonan Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk mencelah dalam rayuan Izwan.

Dilaporkan pada hari sama, mahkamah rayuan juga akan mendengar permohonan Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk mencelah dalam kes M Indira Ghandhi berikutan bekas suaminya Riduan Abdullah yang juga memeluk Islam, masih belum menyerahkan anak perempuan bongsu kepadanya berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2010 memberikan hak penjagaan tiga anak mereka kepadanya.

Komen


Berita Berkaitan