Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KERAJAAN BAHARU SABAH AZAM SEDIAKAN BEKALAN ELEKTRIK DI SELURUH SABAH

Ewon duduk (empat dari kanan), Sualim (duduk tiga dari kanan) dan Christni (duduk tiga dari kiri) bergambar bersama para pegawai SESB yang hadir pada taklimat itu. Gambar SNT/Ehsan KPLB

KOTA KINABALU: Kerajaan baharu Sabah berazam untuk menyediakan kemudahan bekalan elektrik di setiap kampung di seluruh Sabah meskipun berdepan dengan cabaran kerana masih banyak kawasan yang belum menikmati kemudahan itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Ewon Benedick berkata, ini merupakan antara perancangan jangka panjang kerajaan melalui Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk membela nasib rakyat terutama di kawasan luar bandar dan kampung terpencil.

Beliau berkata mengikut statistik terbaharu SESB, terdapat 603 kampung dengan jumlah rumah 19,761 buah di seluruh negeri ini masih belum mempunyai kemudahan bekalan elektrik.

“Berdasarkan maklumat yang disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah, Lahad Datu dan Tenom merupakan dua daerah yang kesemua kampung di kawasan itu menikmati bekalan elektrik.

“Manakala daerah yang mencatatkan jumlah kampung dan bilangan rumah tertinggi yang belum mendapat kemudahan bekalan elektrik ialah daerah kecil Sook, Paitan, daerah Sandakan dan Tawau,” katanya dalam satu kenyataan selepas mendengar taklimat daripada SESB, di Bilik Mesyuarat, Bangunan KPLB Sabah, di sini, kelmarin.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, antara cabaran menyediakan kemudahan bekalan elektrik di kawasan luar bandar ialah rumah yang didirikan berjauhan.

“Dalam taklimat SESB, saya dimaklumkan bahawa keutamaan diberikan kepada kampung-kampung yang mempunyai lebih daripada 10 rumah,” katanya.

Beliau berkata, 706 rumah daripada 19,761 buah rumah yang belum ada bekalan elektrik di 23 buah kampung di negeri ini telah tersenarai dalam Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang kini sedang dilaksanakan.

“Bagi projek BELB tahun depan, juruperunding yang dilantik oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah melaksanakan kerja-kerja pengukuran untuk 3,800 buah rumah di 120 buah kampung seluruh Sabah,” katanya.

Sementara itu Pengurus Besar Perancangan SESB Ahmad Nassaruddin Kamaruzaman berkata, daerah kecil Sook mencatatkan jumlah kampung terbanyak belum menerima bekalan elektrik iaitu 59 kampung dengan bilangan rumah 2,861 buah, diikuti Paitan sebanyak 55 kampung (2,744 rumah), Sandakan (49 kampung, 3,642 rumah) dan Tawau (39 kampung, 3,098 rumah).

Selain itu katanya di Ranau, sebanyak 49 kampung dengan jumlah rumah 961 buah masih belum menikmati bekalan elektrik. Kemabong (36 kampung, 774 rumah), Tuaran (35 kampung, 281 rumah), Kudat (35 kampung, 587 rumah), Tuaran (35 kampung, 281 rumah), Kota Belud (33 kampung, 496 rumah), Kota Kinabalu (29 kampung, 395 rumah), Membakut (24 kampung, 316 rumah), Tambunan (24 kampung, 129 rumah), Nabawan (23 kampung, 644 rumah) dan Banggi (20 kampung, 147 rumah).

Ketika menyampaikan taklimat, Ketua Jurutera BELB Projek Utama SESB Ir.Suadi Wahab berkata, antara masalah yang dikenalpasti semasa pelaksanaan projek-projek BELB di negeri ini ialah prestasi kerja kontraktor dan juruperunding projek yang lemah dan kelewatan penyediaan dokumen untuk cadangan pengambilan tanah bagi tapak pembinaan Pencawang Pembahagian Utama (PPU).

Selain itu katanya, kelewatan untuk mendapatkan kelulusan izinlalu bagi cadangan laluan talian dan talian yang telah dipasang terlibat dengan kerja-kerja naiktaraf jalan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), juga antara isu pelaksanaan projek BELB.

Beliau berkata, sehingga kini, 95 peratus rakyat negeri ini menikmati bekalan elektrik 24 jam dan KKLW (kini KPLB Persekutuan) telah memperuntukkan RM1.64 bilion untuk membangunkan infrastruktur BELB negeri Sabah.

“Berdasarkan data daripada KKLW dari 2010 hingga 2017, sebanyak 24,823 buah rumah di kawasan luar bandar di negeri ini mendapat liputan elektrik,” katanya.

Beliau berkata antara projek di bawah KPLB yang memberi manfaat kepada rakyat negeri ini adalah Projek Penjanaan Diesel, Projek Solar Hybrid, Sambungan Talian Grid 132kV, Sambungan Talian Grid 33kV dan11kV dan Lampu Jalan Kampung (LJK).

“Oleh itu kerjasama erat antara KPLB dan SESB boleh mengoptimumkan lagi pelaksanaan Projek BELB di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata statistik bilangan kampung dan rumah yang disambung ke Grid Projek BELB dari tahun 2010 hingga 2017 ialah sejumlah 699 buah kampung dengan bilangan rumah sebanyak 29,260 daripada 25 kawasan Parlimen di Sabah.

Mengenai BELB Solar Hybrid yang beroperasi di Sabah, beliau berkata, setakat ini sebanyak 23 stesen solar hybrid dengan jumlah rumah sebanyak 6,870 buah iaitu di Pensiangan, Sipitang, Sandakan, Kudat, Tawau, Kinabatangan, Lahad Datu dan Semporna menerima bekalan elektrik itu.

Suadi berkata, Projek BELB Sistem Solar Hibrid masih laksanakan di kampung-kampung termasuk di pulau-pulau terpencil di negeri ini.

Mengenai LJK, Suadi berkata sejumlah 38,297 unit telah dipasang di seluruh Sabah untuk Fasa 1 hingga Fasa 8.

“Bagi Fasa 9 (2018 – 2019) sebanyak 6,960 unit akan dipasang di 24 kawasan Parlimen seluruh Sabah. Daripada jumlah itu 2,349 unit telah siap dipasang dan selebihnya masih dalam pelaksanaan,” katanya.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Sualim Sanan, Timbalan Pengarah KPLB (P) Negeri Sabah Christni Alus, Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Kesejahteraan Rakyat KPLB Sabah Charles W.Dabbi  dan pegawai-pegawai kanan SESB.-SabahNewsToday

 

Komen


Berita Berkaitan