Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

20,000 pokok asli ditanam di Batu Putih, Kinabatangan

Dr. Benoit Goossens (kanan) dan Rosli Jukrana (dua dari kanan) memberikan taklimat ringkas kepada Pang Yuk Ming (tiga dari kanan) dan Yun (empat dari kanan) mengenai projek penanaman pokok asli di Batu Putih, Kinabatangan. -foto ihsan DGFC
Dr. Benoit Goossens (kanan) dan Rosli Jukrana (dua dari kanan) memberikan taklimat ringkas kepada Pang Yuk Ming (tiga dari kanan) dan Yun (empat dari kanan) mengenai projek penanaman pokok asli di Batu Putih, Kinabatangan. -foto ihsan DGFC

Kinabatangan – Kawasan Batu Putih, dekat sini kini dilitupi hampir 20,000 pokok asli iaitu sembilan bulan selepas penebangan kira-kira 400 pokok kelapa sawit yang ditanam secara haram oleh Ladang Kinabatangan, di situ.

Projek penanaman semula kawasan itu dijalankan oleh bahagian pemuliharaan habitat hutan Koperasi Ekopelancongan Komuniti (KOPEL) Berhad dengan kerjasama Yayasan Sime Darby dan Nestlé Project RiLeaf

Pengurus Eksekutif Kopel, Rosli Jukrana berkata, jumlah keseluruhan kawasan yang dipulihkan adalah meliputi keluasan kira-kira 10 hektar.

“Pasukan pemuliharaan kami bekerja keras bagi menjayakan projek ini dan sehingga ke hari ini proses penanaman semula pokok-pokok asli masih lagi dilakukan.

“Projek penyelenggaraan tanaman pokok asli ini akan diteruskan dan tempoh pemantauan adalah dua hingga tiga tahun. Sesetengah pokok yang kami tanam mulai tumbuh dan membesar,” katanya.

Proses penyemaian benih pokok asli di kawasan Batu Putih. - foto ihsan DGFC
Proses penyemaian benih pokok asli di kawasan Batu Putih. – foto ihsan DGFC

Terdahulu beliau mengiringi Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Joseph Yun yang mengadakan tinjauan ke kawasan Batu Putih sempena lawatan dua hari beliau ke Pusat Penyelidikan Danau Girang (DGFC), bermula hari ini.

Turut mengiringi, Pembantu Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Pang Yuk Ming; Pengarah DGFC, Dr. Benoit Googssens dan Pegawai Kanan Bagi Hidupan Liar Daerah Kinabatangan, Jimli Perijin.

Sementara itu, Yun memuji usaha konservasi di kawasan itu oleh kerajaan negeri Sabah yang dikendalikan oleh Kopel dengan kerjasama agensi berkaitan dan pihak swasta.

Katanya, langkah itu mampu memberikan inspirasi kepada lebih banyak projek pemuliharaan alam sekitar terutama di kawasan Kinabatangan bagi menjamin ekosistem semulajadi di negeri ini terus berkekalan. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan