Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

200 pelajar sertai Program Selangkah Ke Menara Gading UMS

Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Ahmadi Nordin (barisan kedua, duduk tengah) bersama peserta Program Selangkah Ke Menara Gading 2018 UMS.- Gambar SNT /Ehsan UMS

KOTA KINABALU: Program Selangkah Ke Menara Gading 2018 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) menarik penyertaan kira-kira 200 pelajar tingkatan enam daripada 15 buah sekolah seluruh Sabah.

Antara sekolah tersebut ialah Beaufort, Keningau, Kinabatangan, Kota Belud, Kota Marudu, Kuala Penyu, Kudat, Kunak, Membakut, Papar, Penampang, Ranau, Menumbok, Beluran dan Kota Kinabalu.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Ahmadi Nordin berkata, program berkenaan mampu menarik minat pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi menerusi pendedahan yang diberikan oleh para mentor mereka.

“Penganjur telah memberikan pendedahan kepada peserta berkaitan dengan suasana universiti. Ia secara tidak langsung telah mendedahkan dan memupuk kecemerlangan pelajar sekolah dari aspek akademik, sahsiah dan disiplin.

“Program ini saya kira bermanfaat kepada seluruh pelajar tingkatan enam sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi,” katanya dalam ucapan perasmian Selangkah Ke Menara Gading 2018 hari ini.

Ia adalah sebuah program bersifat khidmat komuniti pelajar UMS yang dianjurkan oleh Exco Akademik dan Kerjaya, Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2017/2018 untuk masyarakat setempat khususnya pelajar sekolah di sekitar Sabah.

Program yang menerapkan motivasi dan kepimpinan diadakan selama tiga hari itu di UMS dapat menambah semangat kepada para pelajar untuk melangkah ke menara gading.

Umumnya, Ahmadi berkata, program itu dilihat berupaya mendidik semangat kerjasama antara pelajar melalui aktiviti yang dijalankan.

Katanya, pengisian program tersebut dilihat mampu untuk membentuk nilai jati diri dalam jiwa para pelajar yang mana mereka sanggup meluangkan masa dalam menimba ilmu walaupun mempunyai kekangan masa lebih-lebih lagi pada cuti hujung minggu ini.

Jelas beliau lagi, pihaknya berharap agar program sebegini akan terus dianjurkan pada masa akan datang dan akan terus mendapat sambutan yang baik daripada semua pihak. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan