Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,643

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

20 maut dalam serangan di makam popular Syiah

10:48am 12/06/2016 Pak Roshan 16 views Global
KEADAAN selepas pengeboman berhampiran makam Sayyida Zeinab di Damsyik, semalam.

KEADAAN selepas pengeboman berhampiran makam Sayyida Zeinab di Damsyik, semalam.

Beirut: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh apabila penyerang berani mati melancarkan serangan berhampiran sebuah makam berdekatan Damsyik.

Agensi berita rasmi Syria (SANA) berkata, dua penyerang berani mati, seorang di dalam kereta, menyerang pintu masuk makam Sayyida Zeinab, antara kawasan paling popular dalam kalangan pengikut Syiah di seluruh dunia.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria (SOHR) berkata, 13 daripada yang terbunuh itu orang awam dan lebih 30 lagi cedera.

Daish, menerusi agensi beritanya, Amaq, mengaku bertanggung jawab terhadap serangan berkenaan.

Dalam kenyataannya itu, kumpulan pengganas berkenaan berkata, serangan dilakukan oleh tiga anggotanya.

Walaupun makam itu yang terletak kira-kira 10 kilometer ke selatan pusat bandar Damsyik dikawal ketat tentera kerajaan Syria, ia masih menjadi sasaran serangan beberapa kumpulan penentang Presiden Bashar al-Assad.

Serangan terbaru sebelum ini ialah pada 25 April lalu yang menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang mati dan puluhan lagi cedera.

Beberapa pengeboman oleh Daish berhampiran makam itu Februari lalu menyebabkan 134 orang mati, kebanyakannya orang awam.

Pada Januari, serangan yang juga didakwa dilakukan Daish menyebabkan 70 orang terbunuh.

Kumpulan Hizbullah dari Lubnan berkata, ancaman terhadap makam Zayyida Zeinab itu menjadi punca utama ia menyokong Bashar dan turut serta dalam perang saudara Syria.

Makam itu dikatakan menempatkan pusara Zainab, cucu Nabi Muhammad (SAW). – Agensi/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan