Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

2 lagi mangsa bot karam ditemui selamat

LIMA daripada kru warga Filipina yang selamat selepas bot kumpit dinaiki mereka karam di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud. – Foto Ihsan APMM

KOTA KINABALU: Dua lagi kru warga Filipina yang hilang selepas bot kumpit dinaiki mereka karam di perairan berhampiran Pulau Mantanani, Kota Belud, petang semalam, disahkan selamat.

Kedua-dua mangsa, Alan Darain Pahellong; 46, dan Al-Rajib Malali, 31, yang memakai jaket keselamatan ditemui terapung-apung di perairan berkenaan oleh sekumpulan pemancing kira-kira jam 8.15 malam tadi sebelum dibawa ke Kota Kinabalu.

Maklumat mengenai penemuan mereka diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) daripada Pusat Operasi Daerah Maritim Labuan (PUSOP DM14) selepas menerima panggilan daripada seorang pemancing, pada jam 2.30 petang tadi.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata kedua-dua mangsa yang terapung hampir enam jam, ditemui dalam keadaan letih dan tidak bermaya.

“Selepas diselamatkan, mereka yang terapung lama diberi makan dan minum oleh kumpulan pemancing terbabit,” katanya di sini, sebentar tadi.

Zubil berkata, pihaknya dengan agensi penyelamat lain termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) serta Pasukan Polis Marin (PPM) kini meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan tekong bot, Abdullah Salin Kunsali, 62, yang masih hilang.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, bot kumpit dinaiki lapan kru warga Filipina karam, kira-kira 17 batu nautika barat laut perairan Pulau Mantanani.

Ketika kejadian bot berkenaan dalam perjalanan membawa sejumlah muatan beras dan gula dari Labuan ke Filipina. Sejurus kejadian, lima mangsa diselamatkan sebuah bot nelayan yang kebetulan melalui kawasan berkenaan manakala tiga lagi hilang. – BH Online

Komen


Berita Berkaitan