Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

2 beradik maut kemalangan di Jalan Beaufort-Sipitang

Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Lingkungan, Jalan Beaufort-Sipitang. – Foto Ihsan Bomba

 

BEAUFORT: Dua beradik perempuan berusia setahun dan empat tahun maut selepas kereta dinaiki ibu bapa serta dua lagi ahli keluarga mereka terbabit kemalangan di Kampung Lingkungan, Jalan Beaufort-Sipitang, petang semalam.

Dalam nahas jam 5.45 petang itu, Nur Awliya Qairina Jaidi dan adiknya Nur Nadeera Yara meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sipitang (HS).

Difahamkan, ibu mangsa berusia 32 tahun, parah manakala bapa mereka yang bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan memandu kereta Toyota Rav4 itu cedera ringan.

Dua lagi iaitu adik beradik mangsa lelaki berusia tiga tahun cedera ringan dan nenek mangsa berusia 69 tahun parah dengan kesemua mangsa menerima rawatan di HS.

Sementara itu, pemandu dan penumpang lelaki kereta PERODUA Bezza berusia 27 dan 24 tahun parah turut dirawat di hospital sama.

Mereka sekeluarga bercuti dan pulang ke kampung halaman di Beaufort sebelum dijangka pulang semula ke Kuala Lumpur hari ini.

Difahamkan, kereta PERODUA Bezza dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke lorong sebelah kanan lalu bertembung dengan kereta Toyota Rav4 yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan menerima maklumat mengenai kemalangan itu dan siasatan masih diteruskan.

“Dua mangsa meninggal dunia di Hospital Sipitang manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kemalangan membabitkan dua kereta bertembung iaitu PERODUA Bezza dan Toyota Rav4.

“Sebaik menerima maklumat mengenai kemalangan itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang bergegas ke lokasi dan terdapat seorang mangsa tersepit di dalam Toyota Rav4 sebelum berjaya dikeluarkan.

“Semua mangsa yang cedera dihantar menggunakan kenderaan Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS) serta ambulans,” katanya. – Oleh¬†Junaidi Ladjana/BH Online

Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Lingkungan, Jalan Beaufort-Sipitang. – Foto Ihsan Bomba

Komen


Berita Berkaitan