Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

19 mati ditikam ketika tidur

8:57am 28/07/2016 Pak Roshan 16 views Global
WARTAWAN berkumpul untuk membuat liputan di depan pusat jagaan orang kurang upaya mental di Sagamihara di wilayah Kanagawa, Jepun, tempat 19 pesakit mental dibunuh. - AFP

WARTAWAN berkumpul untuk membuat liputan di depan pusat jagaan orang kurang upaya mental di Sagamihara di wilayah Kanagawa, Jepun, tempat 19 pesakit mental dibunuh. – AFP

Sagamihara: Seorang lelaki bersenjatakan pisau memasuki sebuah pusat yang dihuni pesakit terencat akal di sini, bandar kecil berhampiran Tokyo awal semalam dan membunuh 19 pesakit ketika mereka tidur.

Pihak berkuasa Jepun berkata, ia pembunuhan beramai-ramai paling buruk di negara itu sejak Perang Dunia Kedua berakhir.

Sekurang-kurangnya 25 penghuni lain cedera dalam serangan di pusat Tsukui Yamayuri-En di bandar Sagamihara, kira-kira 40 kilometer ke barat daya Tokyo itu.

“Ia kejadian menyedih dan mengejutkan. Semua mangsa itu tidak berdosa,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga, pada sidang akhbar di Tokyo.

Penyerang, Satoshi Uematsu, 26, bekas kakitangan pusat berkenaan menyerah diri kepada polis.

Dalam surat yang ditulisnya sejak Februari lalu, Uematsu berkata, dia mungkin akan ‘menghapuskan 470 orang cacat,’ lapor agensi berita Kyodo.

Katanya, dia akan membunuh 260 orang kurang upaya di dua kawasan di pusat berkenaan ketika syif malam dan tidak akan mencederakan kakitangan.

“Matlamat saya ialah satu dunia tempat orang cacat dibunuh dengan kejam, dengan izin penjaga mereka, sekiranya mereka tidak boleh tinggal di rumah dan aktif dalam kalangan masyarakat,” tulis Uematsu dalam dua surat yang dialamatkan kepada Speaker Dewan Rendah Parlimen, lapor Kyodo.

Kakitangan pusat itu menelefon polis pada jam 2.30 pagi (1.30 pagi waktu Malaysia) untuk melaporkan kehadiran seorang lelaki bersenjatakan pisau.

Lelaki itu memakai kemeja-T hitam.

Pusat berkenaan dibina oleh kerajaan tempatan dan terletak di kawasan seluas tiga hektar.

Pesakit yang menghidap pelbagai jenis kecacatan menghuni di pusat yang boleh menempatkan 160 orang, termasuk kakitangan.

Mangsa yang terbunuh berusia antara 19 dan 70 tahun, terdiri daripada sembilan lelaki dan 10 wanita.

Saksi berkata, serangan bermula awal pagi selepas Uematsu memasuki tingkat satu pusat berkenaan menerusi tingkap yang dipecahkannya.

Media tempatan melaporkan dia mengikat seorang pekerja sebelum membunuh penghuni.

Seorang doktor di sebuah hospital tempat mangsa yang cedera dihantar berkata, luka yang dialami sebahagian mangsa begitu dalam.

Polis menemui satu beg berisi beberapa pisau, satu daripadanya berlumuran darah.

Uematsu dikatakan meninggalkan pusat berkenaan dengan tenang sebelum memandu keretanya ke balai polis Tuskui untuk menyerah diri. – Agensi/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan