Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

19 DITAHAN DALAM OPS PERDANA, DUA WANITA DAKWA TIDAK SEDAR MINUMAN DILETAK PIL KHAYAL

Dua wanita yang mendakwa minuman mereka diletakkan dadah jenis pil ekstasi diiring oleh Ketua Pegawai AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh (kiri) untuk tindakan lanjut. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

PENAMPANG: Dua wanita mendakwa tidak mengambil dadah walaupun ujian saringan awal air kencing mendapati sebaliknya dalam satu pemeriksaan pagi tadi di sini.

Seorang dari wanita terbabit, berusia 19 tahun memberitahu pihak berkuasa dia berkunjung ke pusat hiburan berkenaan bagi menyambut hari lahir rakan dan hanya meminum minuman keras tanpa mengambil barang terlarang.

Manakala, seorang lagi berusia 22 tahun berkata, dia sekadar menemankan rakan berhibur di premis berkenaan.

Kedua-dua mereka yang didapati positif dadah Ecstasy adalah antara 19 orang yang ditahan dalam Ops Perdana diterajui oleh sepasukan penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah di sini, Karamunsing, Likas, dan Manggatal bermula jam 9 malam sehingga jam 2 pagi tadi.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Sabah Joannes Yabin berkata, kedua-dua wanita terbabit mendakwa minuman mereka telah dimasukkan pil khayal tanpa disedari mereka.

Antara suspek yang ditahan dalam Ops Perdana awal pagi tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut Joannes, kesemua saspek berkaitan dadah, 13 lelaki dan tiga wanita dibawa ke pejabat AADK Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983. Selain Ecstasy, ujian mendapati sebahagian daripada mereka positif dadah jenis Methamphetamine atau syabu.

“Kita akan tahan dan reman di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya ketika ditemui media selepas serbuan, di Ibu Pejabat AADK Negeri, di Wisma Dang Bandang, di sini.

Sementara itu, tiga lagi saspek, kesemuanya wanita turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Operasi ini membabitkan seramai 23 anggota dan pegawai AADK dan sembilan penguat kuasa Majlis Daerah Penampang,” katanya.

Penguatkuasa AADK menjalankan Rapid Test terhadap pengunjung salah sebuah pusat hiburan di Penampang dalam Ops Perdana awal pagi tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Hadir sama, Pengarah Pencegahan dan Kesedaran Awam AADK Malaysia, Abdul Rahman Hamid, Pengarah AADK Sabah, Bakri Bibi dan Ketua Pegawai AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh.

Sementara itu, Joannes juga berkata, Ops Perdana ini turut dijalankan secara serentak di empat daerah di Sabah.

“Hasil operasi yang dijalankan serentak di Sandakan, Tawau, Tuaran dan Labuan ini telah menahan seramai 101 individu dan daripada jumlah itu, 87 individu iaitu 77 lelaki dan 10 wanita ditahan kerana didapati positif dadah.

“Operasi ini akan sentiasa dilakukan dan berterusan bagi membanteras kegiatan penagihan dadah di negeri ini,” katanya.- SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan